"Maka perlu ada penilaian semula terhadap struktur berkenaan berpandukan keadaan semasa kerana resapan dan juga pergerakan air bawah tanah sukar dipantau mata kasar malah bergantung kepada jenis batuan dan pelbagai faktor luar kawalan manusia.
"Ada kemungkinan wujud resapan air bawah tanah yang jika berlaku dalam keadaan hujan berterusan seperti sekarang, boleh meningkatkan risiko gelinciran tanah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Justeru, Mohd Yusoff berkata, pemantauan dan selenggaraan yang lebih kerap perlu digabungkan dengan maklumat hasil kerjasama orang awam bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.
"Kalau ada kawasan cerun dibangunkan dan tak diselenggara, maka bertambahlah risiko di situ, walaupun projek itu mungkin sudah lama selesai.
"Kekerapan penyelenggaraan hendaklah melihat l tahap risiko sesuatu kawasan iaitu jika berdekatan perumahan, perlu lebih kerap dipantau.
"Ia kerana kejadian cerun runtuh boleh berulang di kawasan sama jika tiada langkah pencegahan dilakukan misalnya memperkukuhkan tebing dalam berdepan hujan lebat dalam musim peralihan monsun," katanya.
Mohd Yusoff berkata, semua pihak termasuk komuniti setempat perlu memainkan peranan dan cakna dengan perubahan iklim khususnya kedatangan musim tengkujuh.
"Penduduk berhampiran perlu ambil tahu laluan kecemasan selain perlu peka dengan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebagai persediaan dalam tempoh cuaca buruk," katanya.