SEPANG – Punca sebenar kejadian tanah mendap yang berlaku di hadapan Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) sedang disiasat pihak berkuasa Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB).
Menurut Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at, keadaan itu kerana kawasan terlibat adalah di bawah seliaan MAHB.
Untuk tindakan segera, kata beliau, kerja-kerja penilaian dan pembaikan tanah mendap itu akan dimulakan petang ini sejurus peralatan dan jentera-jentera tiba.
“Kawasan ini di bawah seliaan MAHB, mereka pun sudah tahu isu ini dan sudah membuat pemeriksaan pagi tadi.
“Jadi, petang ini mereka akan bertindak untuk menilai dan memeriksa apa punca sebenar kejadian dan mendapatkan solusi bagi pembaikan akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.
Terdahulu, menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Sepang, lubang benam sedalam satu meter dikesan berlaku di kawasan berturap di antara pintu masuk dan keluar Kompleks Bunga Raya di KLIA Terminal 1.