Screenshot 2025 01 02 093151

Redstar Capital Sdn Bhd, salah satu daripada dua syarikat perlombongan bijih besi yang dipertikai oleh masyarakat Orang Asli di Kampung Kelaik, Kelantan, berkata mereka hanya melakukan kerja penyelenggaraan empangan.

Ini berlaku selepas Orang Asli terbabit mendakwa mempunyai bukti bahawa syarikat perlombongan itu masih beroperasi di kawasan itu walaupun kerajaan pada 18 Dis lepas memaklumkan syarikat itu didapati tidak beroperasi semasa pemeriksaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Kami tidak mempunyai sebarang operasi yang dirancang. Apa yang kami lakukan ialah penyelenggaraan empangan.

“Kami belum menghidupkan mesin kami. JMG (Jabatan Mineral dan Geosains) kata kita boleh jalankan kerja penyelenggaraan.

“Penduduk kampung tidak tahu apa (mengenai) operasi atau penyelenggaraan kami,” kata pengurus pentadbiran syarikat itu, Julice Chu kepada Malaysiakini hari ini.

Berdasarkan semakan Malaysiakini sebelum ini, sungai berhampiran sumber air di puncak Bukit Tambun telah dijadikan sebagai kolam air.

Kolam air itu digunakan untuk menyediakan air bersih bagi operasi perlombongan.

Terdahulu, penduduk kampung Orang Asli di Kampung Kelaik mendakwa Redstar Capital masih beroperasi di kawasan itu walaupun Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sebaliknya.

Kementerian juga telah mengarahkan operasi perlombongan di kawasan itu dihentikan.

Dalam laporan polis yang dibuat Ketua Jawatankuasa Bertindak Kampung Kelaik Ahak Uda semalam, dia berkata penduduk kampung mendapati lombong Redstar Capital masih aktif pada 27 Dis - sembilan hari selepas kementerian berkata arahan henti kerja dikeluarkan.

Mereka juga merakam video tentang jentera yang beroperasi di lombong itu sebagai bukti.

"Adakah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan tidak menjalankan pemantauan?

"Bagaimana YB Nik Nazmi Nik Ahmad boleh mengeluarkan kenyataan bahawa Redstar Capital telah menghentikan operasi, sedangkan kami mempunyai bukti video bahawa syarikat tersebut masih beroperasi?

"Adakah JAS Kelantan bersekongkol dengan syarikat perlombongan ini, atau menteri telah menerima maklumat yang salah," kata Ahak.

"Tiada perintah henti kerja dikeluarkan"

Berhubung perkara itu, Chu menyebut bahawa syarikatnya masih belum menerima sebarang perintah henti kerja daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Sehingga hari ini, saya belum menerima sebarang surat daripada JAS dan hanya mengetahui tentang (perintah henti kerja) melalui berita,” tambahnya.

Ketika dihubungi, Pengarah JAS Kelantan, Aminordin Kamaruddin, mengesahkan bahawa perintah henti kerja masih belum dikeluarkan kepada Redstar Capital dan mengatakan hanya arahan lisan telah diberikan berhubung perkara itu.

Dia turut menyebut bahawa semasa dua lawatan yang dilakukan pada Disember, syarikat itu didapati tidak beroperasi dan menjelaskan bahawa operasi di kawasan perlombongan itu berada di bawah bidang kuasa Jabatan Mineral dan Geosains.

“Walau bagaimanapun, kami telah meminta mereka menghentikan kerja mereka sehingga keputusan sampel air diperolehi.

“Kami sedang mengambil sampel logam berat seperti yang disebut dalam artikel Malaysiakini, termasuk kromium dan arsenik,” katanya kepada Malaysiakini.

Aminordin berkata JAS perlu mengikut prosedur kerana Redstar Capital beroperasi dengan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Kami telah mengeluarkan perintah henti kerja kepada Aqua Orion Sdn Bhd kerana mereka beroperasi tanpa laporan EIA yang diluluskan.

“Namun, bagi Redstar Capital, kami akan melihat jika terdapat sebarang pelanggaran terhadap piawaian kami dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Kami bimbang jika syarikat itu diminta menghentikan kerja mereka tanpa asas - berdasarkan piawaian (effluent) kami dan analisis kimia - kami mungkin didapati bersalah,” katanya.

Aminordin juga mengesahkan bahawa Redstar Capital telah menghantar sampel air secara suku tahunan - dari lokasi yang ditetapkan dalam laporan EIA.

Dia berkata, pengumpulan sampel air dari sungai dan kolam pengendapan menjadi cabaran kerana hujan lebat, tetapi keputusan dijangka akan diperolehi.

“Namun, memandangkan penduduk Orang Asli telah membuat laporan polis, saya akan menghantar pegawai saya ke sana untuk menyiasat,” tambahnya.

Screenshot 2025 01 02 092619

Penduduk Orang Asli dari Kampung Kelaik, Kelantan mendakwa mempunyai bukti sebuah syarikat perlombongan bijih besi masih beroperasi, walaupun Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pada 18 Dis memberi jaminan lombong itu tidak beroperasi.

Dalam laporan polis yang difailkan oleh ketua Jawatankuasa Tindakan Kampung Kelaik, Ahak Uda semalam, dia berkata penduduk mendapati lombong Redstar Capital masih beroperasi pada 27 Disember – sembilan hari selepas kementerian menyatakan arahan berhenti kerja telah dikeluarkan. 

Mereka turut merakam bukti  video menunjukkan jentera beroperasi di lombong tersebut

Screenshot 2024 12 12 081009

KUALA LUMPUR: Polis berjaya membongkar kegiatan perlombongan bahan mineral unsur nadir bumi (REE) disyaki beroperasi secara haram di Gua Musang, Kelatan sebelum bahan itu dikumpul dan diproses di Banting, Selangor untuk dieksport ke luar negara, kelmarin.

Susulan itu, 55 individu ditahan menerusi Operasi Khazanah Khas 1/24 dalam tiga serbuan berasingan dengan dua serbuan di Gua Musang dan satu serbuan di Banting bermula jam 5.40 pagi.

Serbuan pertama dijalankan di sebuah lombong REE dipercayai beroperasi secara haram di FELDA Aring 8, Gua Musang pada jam 5.40 pagi sebelum menyerbu sebuah stor di lokasi berhampiran pada jam 8.40 pagi.

Serentak dengan serbuan itu, anggota polis menyerbu sebuah gudang di Kawasan Perusahaan Olak Lempit, Banting yang disyaki menjadi lokasi transit bahan REE yang disyaki dilombong secara haram di Gua Musang.

Hasil serbuan di Olak Lempit, polis menahan empat individu, iaitu seorang tempatan dan tiga warga asing, manakala di FELDA Aring, seramai 46 suspek ditahan termasuk lima tempatan, manakala bakinya terdiri daripada warga asing pelbagai warganegara.

Polis turut melakukan tangkapan susulan membabitkan lima lagi individu semuanya warga tempatan, dengan keseluruhan 55 tangkapan terdiri daripada 14 tempatan dan 41 warga asing berusia lingkungan 26 hingga 63 tahun

Dalam serbuan di Olak Lempit, polis merampas lebih 5 tan bahan mineral REE dianggarkan bernilai ratusan ribu dan individu yang ditahan itu berperanan mengendalikan proses transit, pengeringan serta pembungkusan bahan itu.

BH yang turut serta dalam serbuan itu mendapati timbunan kampit dipercayai mengandungi bahan mineral REE berada dalam gudang berkenaan bersama mesin pengering industrial whizzer yang digunakan untuk mengering dan memejalkan bahan berkenaan.

Difahamkan, bahan itu dibawa ke gudang berkenaan dari pusat perlombongan haram REE di Gua Musang ke gudang itu dengan penghantaran sekali setiap sebulan.

Seterusnya, pekerja di gudang terbabit mengeluarkan bahan mineral dalam bentuk mendapan basah itu dari guni kampit asal seberat kira-kira 40 kilogram setiap satu untuk dikeringkan menggunakan mesin industrial whizzer terbabit.

Isytihar tanah liat, baja

REE yang sudah kering dan pejal akan dibungkus semula dalam guni kampit yang lain dan dipercayai akan dihantar ke pelabuhan berhampiran untuk dieksport dengan kontena dengan muatan diisytiharkan sebagai tanah liat dan baja dipercayai untuk mengaburi pihak berkuasa.

Secara keseluruhan, polis merampas 146 guni kampit dari gudang terbabit dipercayai mengandungi bahan mineral REE dengan 116 daripadanya masih belum dikeringkan dan 30 guni kampit lagi sudah siap dikeringkan.

Susulan serbuan itu, sepasukan penguat kuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor serta pegawai Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) (Selangor/Wilayah Persekutuan) turut dipanggil ke lokasi serbuan untuk membantu proses pengesahan dan dokumentasi mineral yang dirampas.

Di gudang yang diserbu, pegawai JMG diketuai Pengarah JMG Selangor/Wilayah Persekutuan, Rusli Tuan Mohamed, melakukan ujian rapid test di lapangan terhadap sampel mineral dan hasil ujian awal dijalankan mengesahkan bahan mineral yang dirampas itu mengandungi REE.

Menurut JMG, REE mengandungi 17 elemen logam dan harga pasaran untuk setiap elemen logam yang sudah diekstrak adalah di antara AS$2,000 hingga AS$800,000 bagi setiap tan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, ketika mengesahkan serbuan dan tangkapan itu kepada BH, berkata rampasan membabitkan hasil REE berjumlah 269 guni dan peralatan pelombongan haram akan diserahkan kepada JMG untuk tujuan pemeriksaan serta pengurusan lanjut.

Katanya, siasatan ke atas tangkapan warga asing dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(d), Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas sah.

“Siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 55C, Akta Imigresen 1959/63 terhadap majikan yang menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin dan Seksyen 55F, Akta Imigresen 1959/63, yang membenarkan PATI tinggal di premis tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Tindakan ini memastikan kumpulan ini terus dibanteras bagi memastikan hasil negara tidak jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input