PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mengesyorkan supaya kerajaan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penyelewengan unsur nadir bumi (REE) berulang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata sekiranya tidak dilaksanakan, ia memudahkan pihak tidak bertanggungjawab untuk melombong tanpa kebenaran atau mencuri hasil REE.
Disebabkan itu, Azam berkata perlu ada SOP yang jelas terutamanya membabitkan laporan penilaian alam sekeliling (EIA).
"Mengikut pengalaman siasatan SPRM sebelum ini, REE ini tidak mempunyai SOP. Sebab kalau mineral, bila nak keluarkan lesen, ia sudah tetapkan mineral tertentu (yang boleh dilombong).
"Kemudian terpulang kepada Kerajaan Negeri sama ada dia nak benarkan (atau tak) itu terpulang. Tetapi REE ini tidak ada SOP.
"Ini penting kerana tidak tahu mungkin ada penemuan REE baharu yang kerajaan negeri sendiri tidak tahu," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi (APTA) 2024 peringkat negeri, hari ini.
Julai lalu, SPRM menahan empat suspek termasuk seorang pegawai kanan yang berkhidmat dengan kerajaan negeri berkaitan kes rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor perlombongan unsur nadir bumi (REE) membabitkan nilai rasuah didakwa lebih RM13 juta.
Mengulas lanjut, Azam berkata SOP ini sepatutnya berada di bawah tanggungjawab kerajaan negeri kerana ia adalah pemilik sumber berkenaan.
"Untuk pengeluaran ia perlu prosedur daripada kerajaan negeri, tetapi dalam masa yang sama perlu ada kelulusan tertentu daripada Kerajaan Pusat atau kementerian berkaitan.
"Kerana ia libatkan banyak pihak, termasuk percukaian, bila hasil itu dibawa ke luar negara, akan babitkan Kastam. Jadi perkara ini perlu dibincangkan bersama," katanya.