Screenshot 2024 08 26 092550

KUCHING, 25 Ogos - Kejadian tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur disebabkan oleh faktor geografi dan struktur tanah kawasan tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, struktur tanah berbatu kapur yang terdapat di kawasan itu, mempengaruhi pergerakan air bawah tanah selain menyebabkan tanah menjadi tidak stabil dan akhirnya mengakibatkan tanah jerlus.

"Kadang-kadang kita tidak boleh menyangka bila dan di mana tanah jerlus ini akan berlaku.

"Bukan sahaja di Malaysia, tetapi fenomena ini juga berlaku di seluruh dunia, terutama di kawasan yang mempunyai batu kapur dan keadaan geologi tertentu,” katanya selepas majlis Konvensyen Banteras Eksploitasi Pekerja di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata dengan adanya teknologi yang canggih pada masa akan datang, beliau berharap kejadian tersebut dapat dikurangkan dan langkah pencegahan awal dapat diambil.

"Kita tidak boleh meramalkan dengan tepat bila tanah jelus akan berlaku, dengan pengetahuan dan teknologi yang betul, kita boleh mengambil langkah-langkah yang perlu untuk melindungi komuniti dan mengurangkan kesan daripada kejadian ini," katanya.

Pada kejadian pagi Jumaat, seorang mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh di dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarganya untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan kaki melalui kawasan berkenaan menuju ke sebuah kuil berhampiran sebelum kejadian itu berlaku.

Operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan dengan fokus pencarian di sepanjang enam lurang kumbahan di sekitar lokasi kejadian dan loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam dengan bantuan enam anggota daripada Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Screenshot 2024 08 26 091432

IPOH - [DIKEMAS KINI] Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan merujuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berkaitan risiko kejadian tanah jerlus di kawasan bandar raya ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya akan menjalankan kerja-kerja pemetaan utiliti di sekitar Bandaraya Ipoh menerusi kerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri Perak iaitu Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR).

Menurutnya, beberapa titik panas tanah jerlus telah dikenal pasti dan usaha mengesannya masih diteruskan.

"Kita pun macam Kuala Lumpur sebab bawah kita pun batu kapur, sama. Bila-bila masa kalau hujan lebat macam ini boleh berlaku (tanah jerlus), kita doa supaya ia tak berlaku.

"Hotspot memang ada banyak, di Ipoh ini ada puluhan hotspot. Ada yang kita sudah kenal pasti dan kita tengah cari. Itu yang kita bekerjasama dengan KUDR, sekarang kita tengah cari," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Hari Rendah Karbon Ipoh di Jalan Sultan Abdul Jalil di sini pada Ahad.

Rumaizi berkata, pihak MBI telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan KUDR dan tempoh percubaan untuk syarikat tersebut melaksanakan kerja-kerja berkaitan utiliti telah pun dimulakan sejak 1 Julai lalu sehingga 31 Disember tahun ini.

Menurutnya, pemantauan ketat terus dijalankan bagi mengelak kejadian seperti di Kuala Lumpur.

"Kita dengan KUDR ini, kita kenal pasti (lokasi berpotensi berlaku lubang benam), selepas tahu tempat itu kita akan rujuk dengan pakar terutama JMG kita tengok macam mana nak atasi.

"Alhamdulillah setakat ini jalan dan tempat-tempat di Ipoh masih selamat tetapi bergantung pada cuaca kalau situasi normal tak ada masalah," katanya.

Pada Jumaat, media melaporkan seorang wanita warga India berusia 48 tahun terjatuh ke dalam kejadian lubang tanah jerlus berhampiran Masjid India, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Rumaizi bersama seramai kira-kira 3,500 warga Bandaraya Ipoh hadir menyertai Hari Rendah Karbon Ipoh.

Perarakan Hari Kebangsaan telah menghiasi program tersebut dengan penyertaan seramai 300 anak-anak dari Persatuan Taska Perak yang ditemani keluarga dan guru masing-masing.

Sebanyak 20 institusi telah mengambil bahagian di dalam program kali ini yang bersesuaian dengan Tema Malaysia Madani Jiwa Merdeka dipilih untuk menjayakan Program siri ke-72 ini.

Penganjuran kali ini juga telah dimeriahkan lagi dengan kehadiran National Stroke Association of Malaysia (NASAM) yang telah menganjurkan Larian Amal NASAM Step Forward For Stroke 2024.

Screenshot 2024 08 26 090600

Lubang Mendap depan kawasan perumahan

PUNCAK ALAM - Kemunculan satu lubang dengan kedalaman kira-kira satu meter di hadapan kawasan perumahan mengundang kebimbangan penduduk Pangsapuri Seri Seraya.

Pengawal keselamatan yang mahu dikenali sebagai Ikram berkata, mendapan itu dipercayai berpunca daripada pergerakan aliran air bawah tanah sejak Khamis lalu.

Menurut pemuda berkenaan, penduduk setempat mengakui sudah berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri mengenai perkara terbabit, namun belum ada khabar setakat ini.

“Jadi, kawasan ini terpaksa ditutup dengan kon buat sementara waktu kerana bimbang ada yang tidak perasan kewujudan lubang lebih-lebih lagi pada waktu malam.

“Kalau dilihat permukaan jalan tar memang nipis, dibawahnya kosong. Dekat sinilah kawasan mendap berlaku dan di kiri atau kanannya ada penghadang saliran longkang.

“Katakanlah berlaku hujan lebat atau gegaran akibat lori lalu-lalang, lubang ini jadi semakin besar,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk sudah mula mengadu tentang keadaan jalan tar di hadapan pangsapuri Seri Seraya itu sejak Ahad lepas.

Berdasarkan pemerhatian Sinar Harian di lokasi, terdapat kerja-kerja pembinaan rumah dilakukan bersebelahan pangsapuri terbabit dan lori dipercayai sering keluar masuk untuk mengangkut barang.

Bukan itu sahaja, sistem paip bawah tanah terganggu dan hakisan juga dikhabarkan berlaku kira-kira 100 meter dari tapak tersebut.

Lebih membimbangkan, lubang mendap dikhuatiri menjadi lebih besar atau dalam jika berlaku gegaran dan pergerakan bawah tanah sekiranya tidak ditangani dengan segera.

Lekukan yang berlaku berpotensi mengakibatkan kemalangan motosikal, kereta jatuh terjunam atau kanak-kanak terbabas ke dalam lubang berkenaan.

Ikram turut memaklumkan, dia tidak menolak kemungkinan kejadian itu akan bertukar menjadi lebih parah jika tiada tindakan susulan.

"Kebarangkaliannya 50-50. Memang kecil sahaja (lubang) tapi pelik juga kenapa jadi makin besar.

"Penduduk sekitar pun dah periksa kawasan longkang semuanya tak ada masalah saliran tersumbat," ujarnya lagi.

Screenshot 2024 08 26 085911

Putrajaya: Tanah runtuh dilaporkan berlaku di Sungai Merab di sini, yang menghalang laluan keluar masuk ke sebuah kawasan perumahan berhampiran.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Putrajaya berkata, pihaknya menerima laporan kejadian oada 7.31 malam.

"Berdasarkan laporan, tanah runtuh menghalang laluan utama ke kawasan perumahan yang mana terdapat lapan kediaman dan menyukarkan penduduk untuk keluar masuk.

"Seramai sembilan anggota JPBD berkuasa mengambil tindakan segera mengalihkan tanah dan memotong pokok tumbang untuk membuka semula laluan kepada penduduk," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kejadian membabitkan kawasan tanah persendirian dan tindakan susulan akan dilaksanakan oleh pemilik tanah.

Katanya, kerja pembersihan lalu lintas oleh pemilik tanah akan dijalankan pada pagi esok.

Screenshot 2024 08 26 085331

KUALA LUMPUR: Bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) akan menjadi sumber pendapatan baharu yang penting bagi negeri Perak, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut beliau, sejak projek perintis pengeluaran NR-REE dimulakan di kawasan seluas 216 ekar di Hulu Perak, negeri itu telah memperoleh royalti sebanyak RM25.2 juta menjelang Disember 2023.
 
Manakala menjelang April 2024 pula, jumlah itu meningkat kepada RM30 juta sekali gus, menunjukkan potensi besar industri tersebut sebagai penyumbang ekonomi negeri.
 
“Saya sebutkan tadi atas tanah 216 ekar, itupun belum diekstrak keseluruhan, hanya projek perintis, sedangkan kita ada lagi lebih 5,000 ekar tanah yang telahpun melepasi EIA (penaksiran kesan persekitaran), bersiap sedia untuk diekstrak setelah kementerian kerajaan Persekutuan memberi lampu hijau,” katanya dalam temu bual bersama media.
 
Bagaimanapun, beliau berkata, cabaran timbul apabila kerajaan Persekutuan membuat keputusan untuk menghadkan eksport bahan NR-REE.
Untuk mengatasi kekangan ini, katanya, kerajaan negeri Perak telah mengambil langkah dengan menubuhkan sebuah makmal uji mineral yang dibangunkan di Simpang Pulai.
Tambah beliau, dengan penubuhan makmal ini, Perak bukan sahaja dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri NR-REE di Malaysia, tetapi juga membuka peluang pekerjaan baharu khususnya untuk anak-anak Perak yang berkelayakan dalam bidang berkaitan.
 
Pada 9 Julai, kerajaan Perak memberi jaminan akan mempertahankan hak sumber mineral galian NR-REE di negeri ini dan memastikan hasilnya adalah untuk manfaat rakyat Perak.

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input