Tanah jerlus: SAR dihenti, proses pemulihan dilaksanakan di Masjid India
KUALA LUMPUR: Tindakan selanjutnya di lokasi kejadian tanah jerlus di Masjid India di sini akan diteruskan dengan proses pemulihan (search and recovery).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, ia akan diserahkan kepada PDRM kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Antaranya, kata beliau, pemetaan utiliti dan kajian struktur tanah yang akan dilaksanakan di seluruh Kuala Lumpur.
“Selain itu, sesi libat urus antara peniaga juga akan dilaksanakan bagi menyambung kembali aktiviti di kawasan ini, pihak DBKL juga diminta untuk melakukan kerja-kerja pembaikan semula.
“Kawasan dari pintu gerbang sehingga ke Pasaraya Mydin dengan jarak 100 meter akan dipastikan tidak dilalui oleh pengunjung bagi kerja pemulihan dan pembinaan semula.
“Selepas ini mana-mana bangunan perlu melaporkan geoteknikal. Laporan penuh tragedi ini juga akan dibentangan kepada jemaah menteri,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk mendapatkan berita sahih dari pihak berautoriti.
“Saya menegaskan Kuala Lumpur berada dalam keadaan selamat, kita akan berbincang dengan pakar geologi secara berkala,” katanya.
Terdahulu, Dr. Zaliha memaklumkan operasi mencari dan menyelamat wanita warga India yang tírjatuh di lokasi kejadian dihentikan serta-merta pada hari kesembilan.
Katanya, keputusan itu diambil atas beberapa faktor terutamanya disebabkan keselamatan anggota dan orang ramai. – UTUSAN