"Kita merancang memasang sistem amaran awal untuk aliran puing di sana," katanya kepada pemberita selepas pembentangan laporan akhir kajian terkini tanah runtuh Kampung Mohimboyon, Kundasang, di sini, hari ini.
Frederick berkata, Sabah merekodkan 192 bencana tanah runtuh sejak 1961 sehingga tahun lalu.
Bagi Kampung Mohimboyon, katanya, sistem amaran awal akan dilaksanakan selepas kajian empat bulan diselesaikan Ogos lalu.
Beliau berkata, kajian terkini pemetaan cerun mengesahkan kawasan Kundasang berdepan beberapa tahap risiko bencana geologi.
"Kajian mendapati kampung itu mempunyai 52 cerun dan 40 tanah runtuh yang menunjukkan risiko ketidakstabilan," katanya.
Pembentangan itu menyatakan, senario terburuk mungkin menyaksikan bencana berlaku dalam beberapa minit di kawasan berkepadatan kira-kira 2,000 penduduk termasuk kanak-kanak sekolah.
Selain itu, pergerakan bumi antara 0.01 milimeter (mm) hingga lima meter turut direkodkan, selain penemuan rekahan di premis dan tanah runtuh di Kundasang membabitkan kira-kira 30,000 penduduk.
Frederick berkata, penemuan itu akan dikongsi dengan pihak berkepentingan, khususnya yang terbabit dalam sektor pembangunan di Ranau.
Katanya, JMG tampil dengan beberapa penyelesaian termasuk menggunakan Sistem NATSIS untuk pengambilan tanah akan datang dan operasi pengurusan bencana.
"Sistem itu boleh membantu mengurangkan kos projek dan masa dengan mengenal pasti risiko bencana geologi di tapak projek cadangan bagi mengatasi potensi bahaya sebelum menjadi kritikal.
"Selain itu, ada juga keperluan mengitegrasi data antara agensi untuk dijadikan rujukan bagi perancangan projek pembangunan akan datang," katanya.
Frederick berkata, peta dihasilkan perlu memasukkan elemen seperti zon selamat untuk kegunaan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
"Sebagai tambahan, sebarang pembangunan infrastruktur seperti pembinaan bangunan sekolah di kawasan berisiko bencana geologi memerlukan perancangan awal bagi memastikan kesesuaian tapak berdasarkan tahap rawatan.
"Pembangunan di kawasan geologi sensitif mesti mengambil kira nasihat pakar daripada agensi teknikal dan merujuk kepada tahap bahaya seismik, selain kehadiran kelemahan aktif di kawasan terbabit," katanya.