Sasar proses REE dalam tiga tahun lagi

hmetro mutakhir 2024 11 1156071 sasar proses ree dalam tiga tahun lagi

Kota Bharu: Kerajaan menyasarkan pemprosesan unsur nadir bumi (REE) dapat dilakukan dalam negara dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, teknologi untuk memproses REE hanya berada di China dan perbincangan berhubung perkara itu sedang dilakukan.

"Untuk mendapatkan teknologi bagi memproses REE di dalam negara ini, ia sedang dibincangkan di peringkat kerajaan dan perkara ini juga menjadi agenda perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China.

"Kita tunggu hasil perbincangannya dan perancangan kami supaya dalam tempoh dua hingga tiga tahun dari sekarang, kita berjaya pastikan REE dapat diproses dalam negara.

"Sekiranya dapat diproses, ia memudahkan negeri mengawal selia dan melesenkan perlombongan mereka untuk pembangunan REE," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13, (RMK13) Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Darulnaim, di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata, tempoh untuk mendapatkan teknologi memproses REE tidak boleh mengambil masa yang begitu lama kerana ia akan memberi tekanan kepada kerajaan negeri.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan tidak berhasrat mewujudkan satu syarikat monopoli bagi pengurusan REE di negara ini, seperti PETRONAS dalam bidang minyak dan gas.

Menurutnya, kerajaan akan menggunakan Akta Pembangunan Mineral 1994 dan juga Perlembagaan Persekutuan sedia ada dalam aspek pengurusan REE.

Did this page help you?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input