KUALA NERUS - Kerajaan Terengganu telah meluluskan permohonan dua syarikat untuk melakukan kajian awal bagi menentukan skop perlombongan unsur nadir bumi (REE) yang terdapat di negeri ini.
Exco Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menyatakan kajian awal untuk meneroka REE itu sudah mula dilaksanakan sejak Ogos lepas.
Beliau berkata, fasa pertama yang dilakukan dua syarikat tersebut bertujuan menentukan tahap kedalaman sebelum proses perlombongan REE mula dilaksanakan.
"Sebenarnya, kerajaan negeri ada terima permohonan dari lapan syarikat yang berminat untuk terlibat dalam proses perlombongan REE tersebut.
"Namun, buat masa ini, dua syarikat sahaja yang diluluskan kerana mereka telah memohon dalam tempoh yang begitu lama.
"Oleh itu, dua syarikat ini dahulu akan melakukan kajian tahap kedalaman melombong termasuk perincian proses menggerudi kawasan perlombongan di lokasi yang telah dikenal pasti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan penonton yang hadir pada Program Dialog Exco di Bandar Al Wathiqu Billah Shah Kuala Nerus, di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan selepas kerja-kerja kajian tahap kedalaman lombong dilakukan, proses mengeluarkan bahan mineral tersebut akan mula dilaksanakan.