Lombong REE musnah alam sekitar, Sarawak tak akan terburu-buru

Screenshot 2024 12 31 093724

KUCHING: Kerajaan negeri mempersoal mengapa harus melaksanakan industri seperti perlombongan unsur nadir bumi (REE) yang boleh menjejaskan alam sekitar, sedangkan Sarawak memiliki industri lain yang lebih bersih dan mesra alam sekitar.

Justeru, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata kerajaan negeri tidak akan terburu-buru dalam melaksanakan aktiviti perlombongan REE.

Beliau berkata, meskipun kajian mengenai REE dilaksanakan, kerajaan negeri belum berhasrat untuk melombong mineral itu yang akan menyebabkan kemusnahan kepada alam sekitar.

"Perlombongan ini (REE) memerlukan kajian yang cukup teliti kerana ia boleh menjejaskan persekitaran.

"Jadi bagi saya, jika kita ada pilihan mengapa harus kita melaksanakan industri yang boleh menjejaskan alam sekitar kerana kita memiliki industri lain yang lebih bersih dan mesra alam sekitar," katanya selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Chia Hia Khor Moral Uplifting Society Sarawak (CHKMUS) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Premier, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian serta Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata demikian mengulas rekod Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) yang menyenaraikan Sarawak antara 10 negeri dikenal pasti berpotensi miliki REE

dengan jangkaan nilaian RM809.6 bilion selain Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Selangor.

Abang Johari berkata, Sarawak akan meneliti untuk melaksanakan perlombongan REE jika tiada pilihan lain atau keadaan mendesak.

"Melainkan terdesak (mungkin kita pertimbang), (sekarang) kita tidak terdesak kerana kita ada industri lain untuk menjana pendapatan... jadi sekarang ini kita simpan dahulu (REE)," katanya.

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input