"Berdasarkan siasatan kita, tiada sebarang kerja pembangunan sedang dilaksanakan di atas bukit yang menyebabkan gelongsoran tanah.
"Bagaimanapun terdapatnya kerja-kerja pembinaan yang dilaksanakan oleh pemilik tanah yang membeli lot tanah dari pemaju dan perkara itu juga sedang disemak," katanya.
Kawasan atas bukit berkenaan dimiliki pemaju yang kemudian menjual puluhan lot tanah kepada pembeli yang berminat untuk mendirikan kediaman.
Amirudin berkata, beliau menerusi MPAJ juga sudah mengarahkan pemaju untuk menjalankan kerja penyelenggaraan terhadap longkang, laluan serta persekitaran atas bukit berkenaan.
"Saya juga dimaklumkan bahawa kawasan itu turut menjadi tumpuan untuk penduduk sekitar melakukan aktiviti riadah serta joging dan kita menutup tempat ini untuk sementara waktu sehinggalah JMG dapat merumuskan bahawa kawasan ini benar-benar selamat," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjangkakan semua penduduk yang mendiami tujuh daripada 20 unit kediaman di Jalan E6, boleh kembali ke kediaman mereka antara dua hingga tiga hari lagi.
"Kita jangkakan mereka akan kembali tidak lama lagi selepas keadaan di sini benar-benar disahkan selamat.
"Kita sudah memasang kanvas dan akan membina tembok penghadang bagi memastikan kejadian sama tidak berulang," katanya.