Tanah mendap KLIA: Punca disiasat, baik pulih dilaksana petang ini

Screenshot 2024 09 26 090729

SEPANG – Punca sebenar kejadian tanah mendap yang berlaku di hadapan Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) sedang disiasat pihak berkuasa Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB).

Menurut Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at, keadaan itu kerana kawasan terlibat adalah di bawah seliaan MAHB.

Untuk tindakan segera, kata beliau, kerja-kerja penilaian dan pembaikan tanah mendap itu akan dimulakan petang ini sejurus peralatan dan jentera-jentera tiba.

“Kawasan ini di bawah seliaan MAHB, mereka pun sudah tahu isu ini dan sudah membuat pemeriksaan pagi tadi.

“Jadi, petang ini mereka akan bertindak untuk menilai dan memeriksa apa punca sebenar kejadian dan mendapatkan solusi bagi pembaikan akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.

Terdahulu, menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Sepang, lubang benam sedalam satu meter dikesan berlaku di kawasan berturap di antara pintu masuk dan keluar Kompleks Bunga Raya di KLIA Terminal 1.

 

Kedalaman lubang benam itu dianggarkan sedalam satu meter dan status jalan itu boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Pemeriksaan mendapati terdapat satu ‘manhole’ kumbahan milik KLIA yang berada berhampiran kawasan lubang benam yang mana kebocoran paip kumbahan disyaki menjadi punca kejadian.

Dalam pada itu, Azman turut memaklumkan, tiada sebarang kecederaan dan kerosakan dilaporkan berlaku.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi.

Pada masa sama, beliau memberitahu, laluan ke Kompleks Bunga Raya ditutup sepenuhnya untuk orang ramai bagi memastikan keselamatan.

“Berapa lama tutup laluan itu bergantung kepada penilaian mengenai kerosakan yang berlaku. Kalau rosaknya permukaan sahaja, sekejap sahaja.

“Sekiranya ada kerosakan lain, mestilah akan ambil masa lebih,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input