Hasil perlombongan mineral bukan radio aktif kekal milik kerajaan negeri - Nik Nazmi

screencapture bharian my amp berita nasional 2024 08 1290675 hasil perlombongan mineral bukan radio aktif kekal milik kerajaan 2024 08 28 11 07 46

IPOH: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberi jaminan bahawa hasil perlombongan mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) akan kekal menjadi hak kerajaan negeri yang mengusahakannya.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia kerana berpandukan Perlembagaan, perlombongan sebarang jenis mineral termasuk NR-REE, selain minyak dan gas (O&G) di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

 

Beliau berkata, jaminan itu dibuat biarpun sebelum ini terdapat cadangan penubuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di peringkat pusat untuk bertindak sebagai pengawal selia perlombongan NR-REE di negara ini.

Di peringkat kerajaan pusat, katanya, rangkaian industri mineral NR-REE yang lengkap ingin dibangunkan membabitkan hal eksport, penyelidikan dan pembangunan (R&D) hasil mineral itu.

"Sebagaimana yang Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) hasratkan supaya kita tidak hanya gali dan jual bahan (NR-REE) mentah, kita hendak ianya macam dalam industri minyak (apabila) kita gali dan proses maka kita dapat nilai (keuntungan) berkenaan.

"Kita bergerak mengikut kerangka Perlembagaan kita yang mana mineral selain daripada O&G, mineral ini terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Cuma kita tentulah hendak bangunkan satu rangkaian industri yang lengkap dan bila ianya dieksport itu membabitkan kuasa kerajaan Persekutuan.

 

"Tetapi yang kita buat (bagi NR-REE), dia berbeza daripada model PETRONAS yang 1974 (Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144]).

"Kita tidak ada rancangan itu (GLC pusat memiliki dan menguasai hak hasil perlombongan mineral) setakat ini, yang kita ada hanya kita sudah luluskan prosedur operasi standard (SOP) untuk NR-REE," katanya dalam sidang media berhubung aduan pencemaran bau dan udara di kawasan Simpang Pulai, di sini hari ini.

Nik Nazmi ditanya mengenai kebimbangan yang pernah disuarakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bahawa kerajaan Perak serta negeri lain yang mengusahakan perlombongan NR-REE khuatir terhadap hasil perlombongan mineral itu yang dikatakan akan dikawal oleh kerajaan pusat.

Saarani pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Julai lalu, menyatakan kebimbangan itu dan memaklumkan hasil NR-REE adalah hak kerajaan negeri dan akan terus mempertahankan hak khususnya sudut royalti.

Saarani dalam pada itu bagaimanapun mengakui kerajaan pusat akan menjadi fasilitator atau penyelaras kepada aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan NR-REE.

Penyataan itu diberikan Saarani susulan ura-ura yang berlegar kemungkinan satu akta mengenai NR-REE akan digubal di peringkat kerajaan pusat sebagaimana kewujudan Akta Petroleum (Langkah-langkah Keselamatan) 1984 (Akta 302).

Kewujudan Akta 302 terdahulu, didakwa segelintir pihak mengakibatkan kerajaan pusat mengawal hingga membawa kepada situasi 'pilih kasih' apabila terdapat negeri memperoleh royalti manakala sebilangan negeri tertentu tidak memperolehinya.

April lalu, Nik Nazmi dilapor menyatakan keperluan untuk Akta Pembangunan Mineral 1994 dipinda dalam usaha memenuhi keperluan pembangunan kerangka model perniagaan NR-REE negara.

Kerangka perundangan itu adalah perkara asas yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum perbincangan dibuat mengenai penubuhan GLC meneroka dan mengawal selia industri berkenaan.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input