NRECC Bangunkan SOP Berkaitan REE

IMG 3408

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad (kanan) ketika Sidang Media mengenai Penambahbaikan Pelaksanaan Serta Penetapan Kadar Premium Baharu Program Green Electricity Tariff (GET) di Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC). Turut sama Ketua Setiausaha NRECC Datuk Rosli Isa (kiri).


PUTRAJAYA, 14 Julai (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sedang membangunkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan unsur nadir bumi (REE), bagi memastikan aktiviti perlombongan REE dilaksanakan secara lestari dan mampan serta mengekang kegiatan perlombongan haram.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata keputusan untuk pembangunan SOP tersebut, dicapai dalam Mesyuarat Majlis Mineral Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada Mei, di mana NRECC ditugaskan menyediakan SOP terbabit.

“Kita tidak mahu REE dieksport dalam keadaan mentah dan kita tidak dapat nilai tambah daripadanya.

“Ini kerana REE mendapat permintaan yang tinggi di seluruh dunia, lebih-lebih lagi dengan peralihan tenaga dan sebagainya,” katanya pada sidang media mengenai Tarif Elektrik Hijau (GET) di sini hari ini.

Beliau mengulas kejayaan Polis Kedah membongkar kegiatan pemerdagangan manusia dan aktiviti mencuri REE di Bukit Enggang, Sik, Kedah. Dilaporkan sembilan individu iaitu empat warga Myanmar dan lima warga tempatan ditahan bulan lepas, serta pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk melombong REE secara manual selain merampas empat guni berisi REE seberat 99 kilogram.

Dalam isu berasingan, Nik Nazmi berkata NRECC akan mengadakan mesyuarat dengan pihak berkaitan dalam masa terdekat, bagi menyelesaikan masalah penurunan paras air Sungai Muda di Kedah.

“Kita akan cuba tangani perkara ini dengan cara yang lebih holistik,” katanya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga sedang melakukan siasatan mengenai perkara tersebut.

Pada 10 Julai, Pengerusi SPAN Charles Santiago dilaporkan berkata kegagalan pada sistem automasi yang menyebabkan pintu empangan rendah nombor 14 terbuka sehingga 47 peratus, dikesan menjadi antara punca penurunan paras air Sungai Muda secara mendadak, daripada 1.8 meter kepada 0.67 meter dalam tempoh 11 jam.

-- BERNAMA

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input