Screenshot 2024 08 26 090600

Lubang Mendap depan kawasan perumahan

PUNCAK ALAM - Kemunculan satu lubang dengan kedalaman kira-kira satu meter di hadapan kawasan perumahan mengundang kebimbangan penduduk Pangsapuri Seri Seraya.

Pengawal keselamatan yang mahu dikenali sebagai Ikram berkata, mendapan itu dipercayai berpunca daripada pergerakan aliran air bawah tanah sejak Khamis lalu.

Menurut pemuda berkenaan, penduduk setempat mengakui sudah berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri mengenai perkara terbabit, namun belum ada khabar setakat ini.

“Jadi, kawasan ini terpaksa ditutup dengan kon buat sementara waktu kerana bimbang ada yang tidak perasan kewujudan lubang lebih-lebih lagi pada waktu malam.

“Kalau dilihat permukaan jalan tar memang nipis, dibawahnya kosong. Dekat sinilah kawasan mendap berlaku dan di kiri atau kanannya ada penghadang saliran longkang.

“Katakanlah berlaku hujan lebat atau gegaran akibat lori lalu-lalang, lubang ini jadi semakin besar,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk sudah mula mengadu tentang keadaan jalan tar di hadapan pangsapuri Seri Seraya itu sejak Ahad lepas.

Berdasarkan pemerhatian Sinar Harian di lokasi, terdapat kerja-kerja pembinaan rumah dilakukan bersebelahan pangsapuri terbabit dan lori dipercayai sering keluar masuk untuk mengangkut barang.

Bukan itu sahaja, sistem paip bawah tanah terganggu dan hakisan juga dikhabarkan berlaku kira-kira 100 meter dari tapak tersebut.

Lebih membimbangkan, lubang mendap dikhuatiri menjadi lebih besar atau dalam jika berlaku gegaran dan pergerakan bawah tanah sekiranya tidak ditangani dengan segera.

Lekukan yang berlaku berpotensi mengakibatkan kemalangan motosikal, kereta jatuh terjunam atau kanak-kanak terbabas ke dalam lubang berkenaan.

Ikram turut memaklumkan, dia tidak menolak kemungkinan kejadian itu akan bertukar menjadi lebih parah jika tiada tindakan susulan.

"Kebarangkaliannya 50-50. Memang kecil sahaja (lubang) tapi pelik juga kenapa jadi makin besar.

"Penduduk sekitar pun dah periksa kawasan longkang semuanya tak ada masalah saliran tersumbat," ujarnya lagi.

Screenshot 2024 08 26 085911

Putrajaya: Tanah runtuh dilaporkan berlaku di Sungai Merab di sini, yang menghalang laluan keluar masuk ke sebuah kawasan perumahan berhampiran.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Putrajaya berkata, pihaknya menerima laporan kejadian oada 7.31 malam.

"Berdasarkan laporan, tanah runtuh menghalang laluan utama ke kawasan perumahan yang mana terdapat lapan kediaman dan menyukarkan penduduk untuk keluar masuk.

"Seramai sembilan anggota JPBD berkuasa mengambil tindakan segera mengalihkan tanah dan memotong pokok tumbang untuk membuka semula laluan kepada penduduk," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kejadian membabitkan kawasan tanah persendirian dan tindakan susulan akan dilaksanakan oleh pemilik tanah.

Katanya, kerja pembersihan lalu lintas oleh pemilik tanah akan dijalankan pada pagi esok.

Screenshot 2024 08 26 085331

KUALA LUMPUR: Bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) akan menjadi sumber pendapatan baharu yang penting bagi negeri Perak, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut beliau, sejak projek perintis pengeluaran NR-REE dimulakan di kawasan seluas 216 ekar di Hulu Perak, negeri itu telah memperoleh royalti sebanyak RM25.2 juta menjelang Disember 2023.
 
Manakala menjelang April 2024 pula, jumlah itu meningkat kepada RM30 juta sekali gus, menunjukkan potensi besar industri tersebut sebagai penyumbang ekonomi negeri.
 
“Saya sebutkan tadi atas tanah 216 ekar, itupun belum diekstrak keseluruhan, hanya projek perintis, sedangkan kita ada lagi lebih 5,000 ekar tanah yang telahpun melepasi EIA (penaksiran kesan persekitaran), bersiap sedia untuk diekstrak setelah kementerian kerajaan Persekutuan memberi lampu hijau,” katanya dalam temu bual bersama media.
 
Bagaimanapun, beliau berkata, cabaran timbul apabila kerajaan Persekutuan membuat keputusan untuk menghadkan eksport bahan NR-REE.
Untuk mengatasi kekangan ini, katanya, kerajaan negeri Perak telah mengambil langkah dengan menubuhkan sebuah makmal uji mineral yang dibangunkan di Simpang Pulai.
Tambah beliau, dengan penubuhan makmal ini, Perak bukan sahaja dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri NR-REE di Malaysia, tetapi juga membuka peluang pekerjaan baharu khususnya untuk anak-anak Perak yang berkelayakan dalam bidang berkaitan.
 
Pada 9 Julai, kerajaan Perak memberi jaminan akan mempertahankan hak sumber mineral galian NR-REE di negeri ini dan memastikan hasilnya adalah untuk manfaat rakyat Perak.

Screenshot 2024 08 26 082907

Tanah Runtuh Taman Bunga Raya: DBKL Lantik Kontraktor Kukuhkan Cerun

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melantik kontraktor bagi mengukuhkan cerun susulan kejadian runtuhan sebahagian dinding penahan tanah di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Klang, berhampiran Kem Wardieburn di sini.


Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata kerja-kerja meletakkan kanvas di kawasan runtuhan telah dilaksanakan dan pihaknya setakat ini tidak menerima laporan mengenai sebarang pergerakan tanah di kawasan itu.


"Sebanyak 13 kediaman terlibat dalam kejadian itu dan semua mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Bunga Raya.


"Daripada jumlah itu, sebuah rumah dilaporkan dalam keadaan serius manakala dua lagi dalam keadaan berjaga-jaga," katanya pada sidang media di sini malam ini selepas melawat lokasi wanita warga asing dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.


Maimunah berkata penduduk juga dinasihatkan untuk tidak pulang ke rumah sehingga penilaian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengesahkan kawasan itu selamat.


Media melaporkan JBPM Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan sebahagian dinding penahan di Taman Bunga Raya runtuh kira-kira 5.40 petang semalam sehingga menjejaskan sebuah rumah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Screenshot 2024 08 19 072709

 *gambar hiasan tidak melibatkan keratan artikel*

Projek pasir, Kuari didakwa jejaskan ekosistem alam sekitar

LUMUT: Tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengulangi gesaan supaya Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di mukim Segari dalam daerah Manjung, dekat sini dilindungi dan di­pulihara daripada sebarang ke­giatan yang boleh mengancam ekosistem semula jadi serta ke­sejahteraan alam sekitar.

Gesaan itu dibuat berikutan kebimbangan terhadap beberapa kegiatan dan projek yang sedang dan akan dilakukan di situ tidak selari dengan dasar dan ketetapan termasuk rancangan pemajuan sama di peringkat negeri serta Persekutuan.

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang mewakili tujuh NGO itu, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri harus mengambil berat perkara berkenaan sebelum kemusnahan berlaku di KSAS khususnya enam aktiviti atau projek yang sedang dan akan dilaksanakan di situ.

Katanya, kerosakan terhadap KSAS di Segari sekali gus me­ngancam kawasan pendaratan penyu, kawasan habitat hidupan laut yang menjadi sumber penangkapan nelayan dan mengganggu kawasan rayau hidupan liar.

“Ancaman terhadap ekosistem semula jadi dan kesejahteraan alam sekitar juga memberi impak semasa dan tempoh jangka panjang terhadap sosio ekonomi masyarakat setempat terutama golongan nelayan dan sektor pelancongan di Pantai Teluk Se­nangin,” katanya semalam.

Menurut Meor Razak, antara aktiviti dan projek yang sedang dilakukan dan akan dilakukan adalah pengambilan pasir di Pantai Pasir Panjang, pembalakan secara tebang habis untuk tujuan projek kuari seluas kira-kira 122 hektar di sebahagian Kompartmen 19, 20 dan 21, Hutan Simpan Segari Melintang (HS Segari Melintang);
Projek akuakultur di sebahagian Kompartmen 34, HS Segari Melintang, cadangan kilang besi dan keluli di Pantai Pasir Panjang, cadangan loji pempro­sesan minyak dan petrokimia di Tanjung Hantu serta cadangan kompleks cerapan Baitul Hilal bersebelahan Baitul Hilal di Pantai Pasir Panjang.

“Semua projek dan aktiviti yang sedang dan akan dilakukan itu bakal mengancam kawasan pesisiran pantai dan kawasan penangkapan nelayan serta memusnahkan hutan semula jadi hutan bukit pantai,” katanya.

“Ia juga menyebabkan pencemaran air Sungai Gelam, mengancam kawasan pendaratan penyu dan sektor pelancongan serta memusnahkan hutan semula jadi bukit pantai,” katanya di semalam.

Menurutnya, berdasarkan dokumen Rancangan Fizikal Negara (RFN), semua kawasan pendaratan penyu di Semenanjung Malaysia dikategori sebagai KSAS Tahap 1 dan 2 yang tidak boleh dibangunkan dengan sebarang kegiatan dan penukaran guna tanah seperti perindustrian, perlombongan dan pengkuarian kecuali kegiatan ekopelancongan yang berimpak rendah, pendidikan dan penyelidikan sahaja.

Beliau berkata bahawa kawasan pantai dari Hutan Lipur Pasir Panjang hingga ke Pantai Pasir Pandak, Tanjung Hantu, adalah kawasan yang kerap direkodkan pendaratan penyu berdasarkan kepada penemuan sarang dan kutipan telur oleh pengutip telur penyu yang dilantik oleh Jabatan Perikanan.

“Malah dimaklumkan, kawasan pantai dan beting pasir di muara sungai merupakan kawasan sarang penyu paling banyak ditemui,” katanya. – UTUSAN

Did this page help you?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input