Pasukan pemantauan khas dicadang pantau projek pembangunan di Cameron Highlands - Nik Nazmi

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan mencadangkan penubuhan satu pasukan pemantauan khas untuk melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala terhadap projek pembangunan di Cameron Highlands.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata pasukan terdiri daripada pelbagai agensi itu akan diketuai oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang sebagai langkah tambahan yang diambil kementerian untuk memantau kawasan lapangan.

"Penubuhan pasukan ini dijangka dapat memastikan sebarang projek yang tertakluk kepada keperluan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), mendapat kelulusan Laporan EIA daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) terlebih dahulu sebelum diluluskan, selain melihat penilaian bahaya dan risiko tanah runtuh oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sebelum pelaksanaan oleh agensi-agensi berkenaan,” katanya.

Selain itu, Pengarah Penyelarasan dan Operasi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan mengetuai pasukan Pemantau Cerun dengan dibantu oleh JMG Negeri Pahang bagi memantau keadaan tapak semasa untuk menilai tahap risiko berlakunya bencana tanah runtuh, susulan aktiviti kerja tanah pertanian berhampiran kawasan tersebut termasuk kerja-kerja mitigasi.

Baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya kajian semula dijalankan ke atas semua projek pembangunan di kawasan bukit dan tanah tinggi di Cameron Highlands, berikutan kebimbangan berlakunya bencana alam.

Banjir lumpur telah berlaku di Perumahan Pekan Kampung Raja, Cameron Highlands pada 30 Ogos 2022 yang melibatkan sebuah rumah, diikuti dua lagi kejadian tanah runtuh di kawasan yang sama pada 17 Nov dan 20 Dis 2022. Siasatan awal mendapati kejadian banjir lumpur itu disyaki berpunca daripada aktiviti kerja tanah pertanian berhampiran kawasan tersebut.

Nik Nazmi berkata berdasarkan siasatan JAS terhadap projek-projek pembangunan di kawasan Cameron Highlands mendapati terdapat 16 projek yang tertakluk kepada Perintah EIA 2015, telah mendapat kelulusan dan kini dalam pemantauan berkala JAS. 

Ia meliputi 10 projek belum mula, satu telah beroperasi dan masih ada kerja pembinaan, serta lima lagi dalam pelaksanaan kerja tanah, katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi memaklumkan JAS telah menjalankan siasatan terhadap projek yang menyebabkan kejadian banjir lumpur di pekan Kampung Raja pada 20 Dis lepas dan  mendapati pemaju projek tidak menjalankan Laporan EIA dan tidak memohon kelulusan Laporan EIA, sedangkan ia perlu mendapat kelulusan Laporan EIA, sebelum sebarang kerja dilaksanakan.

Menurutnya kelulusan laporan EIA merupakan input penting dalam proses perancangan dan keputusan kelulusan sesuatu projek oleh pihak berkuasa melulus namun dalam hal ini, projek telah diluluskan tanpa EIA dan penglibatan JAS.

Sehubungan itu, beliau berkata JAS telah mengambil tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 iaitu mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 untuk memberhentikan kerja-kerja di tapak sehingga kelulusan Laporan EIA diperoleh.

"Pemaju juga telah diarahkan supaya melaksanakan langkah-langkah remedi mengelakkan banjir lumpur. Kertas siasatan bagi kes ini juga sedang disiapkan bagi tujuan pendakwaan di mahkamah,” katanya.

-- BERNAMA