Kerajaan negeri, JAS pantau kerja punggah arang batu di Pantai Kundor

Screenshot 2024 12 31 123826

AYER KEROH: Kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus memantau aktiviti pemunggahan arang batu berhampiran Pelabuhan Tanjung Bruas, dekat Tanjung Kling, di sini yang menimbulkan rungutan penduduk.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata tindakan tegas termasuk menghentikan aktiviti berkenaan akan diambil sekiranya ia melanggar syarat ditetapkan termasuk menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Beliau berkata, meskipun tiada kaitan dengan aktiviti berkenaan, kerajaan negeri tetap bertanggungjawab memastikan kehidupan rakyat sentiasa selesa dan selamat.

"Kerajaan negeri sebenarnya tidak ada kena mengena dengan aktiviti pemunggahan arang batu itu, bagaimanapun kita akan pastikan segala urusan mengikut syarat ditetapkan.

"Sekiranya pihak berkenaan memberi impak negatif terhadap alam sekitar, kita akan hentikan.

"Justeru, pihak berkuasa negeri boleh guna bidang kuasa yang ada untuk memantau kerja pemunggahan arang batu itu," katanya ketika menggulung perbahasan usul Bajet Melaka 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, di Seri Negeri di sini hari ini.

Baru-baru ini penduduk termasuk nelayan Pantai Kundor membantah kerja pemunggahan arang batu di kampung berkenaan.

Susulan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi mengadakan pertemuan dengan JAS bagi mendapatkan makluman mengenai siasatan terhadap operasi pemunggahan itu.

Hasil pertemuan, JAS dimaklumkan projek itu sudah mendapat kelulusan daripada PlanMalaysia mengenai kajian Penilaian Impak Sosial (SIA) bagi mengangkut kerja arang batu pada 19 Jun lalu.

Kerja pemindahan arang batu dari kapal Sinaran Riang, Palembang Indonesia bermula 19 Disember lalu membabitkan 8,000 metrik tan arang batu untuk kegunaan kilang simen di Bahau, Negeri Sembilan.

Kerja dijalankan mempunyai Pelan mitigasi. Aktiviti terbabit sudah bermula sejak 2017, bagaimanapun pada 2021 hingga 19 Jun lalu, aktiviti itu sudah diarah menghentikan operasi kerana menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk setempat.

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input