PUTRAJAYA: Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengambil langkah kesiapsiagaan mengurangkan risiko dalam menghadapi Monsun Barat Daya (MBD) dan mengatasi musim panas berpanjangan melibatkan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
Cuaca panas berpanjangan akan menyebabkan pelbagai impak negatif meliputi kesan kesihatan, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan atau belukar, jerebu dan kekurangan hasil pertanian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, bagi mengatasi kebakaran hutan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap sedia dengan persiapan logistik dan 23,566 anggota untuk digerakkan bagi menghadapi kebakaran terbuka.
Selain pemantauan kualiti udara dan pelaporan indeks pencemaran udara, katanya, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut membuat rondaan darat dan udara menggunakan dron.
Ini termasuk mengaktifkan infrastruktur pencegahan kebakaran tanah gambut seperti telaga tiub (108), sekatan saliran (305), peziometer (96), menara tinjau (enam) dan kolam takungan (15).
“Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menyediakan sumber air alternatif iaitu sumber air bawah tanah sebanyak 640 buah telaga aktif domestik dan 104 buah telaga untuk pencegahan dan pemadaman kebakaran di tanah gambut dan hutan dengan kapasiti keseluruhan 176.13 juta liter sehari (MLD).
“Bagi mengurangkan penyakit berkaitan haba ke tahap yang minimum, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan pemantauan penyakit berkaitan haba sejak Minggu Epid 1/2024 (ME1) dan menyampaikan aktiviti komunikasi risiko seawal mungkin,” katanya di sini semalam.
Khairul Shahril berkata, KKM juga memberikan rawatan seawal mungkin bagi mengelakkan morbiditi dan mortaliti serta merekodkan pemantauan kes penyakit berkaitan haba bagi mengenal pasti golongan berisiko tinggi dan melindungi mereka.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) juga melakukan operasi pemantauan dan berada di lokasi-lokasi hotspot bencana serta bekerjasama dengan beberapa agensi berkaitan bagi mewujudkan satu gerak kerja bagi tujuan pencegahan sekiranya berlaku perkara lebih buruk.
Kerajaan turut melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) di Kedah dan Perak selama tiga hari berturut-turut bermula kelmarin bagi meningkatkan paras air di Empangan Bukit Merah, Perak dan Empangan Muda, Kedah untuk tujuan pertanian dan kegunaan air domestik.
Jelas beliau, kesiapsiagaan dan langkah-langkah proaktif agensi-agensi berkaitan dalam menguruskan impak Monsun Barat Daya diharap dapat mengatasi kegusaran orang ramai.