Page 25 - Pelan Strategik JMG 2016-2020
P. 25
24 PELAN STRATEGIK JMG 2016-2020
12. PENGURUSAN RISIKO BENCANA GEOLOGI
Pembangunan pesat negara telah membawa kepada pembukaan banyak kawasan
perbandaran dan penempatan baharu. Keperluan kawasan pembangunan ini
semakin mendesak sehingga meliputi kawasan yang terhad dan sensitif yang
mendedahkan kepada risiko bencana. Ini diburukkan lagi dengan keadaan cuaca
ekstrim dengan statistik kejadian bencana seperti tanah runtuh, aliran lumpur dan
tanah mendap semakin meningkat yang mengakibatkan kesan kemusnahan dan
kerugian yang besar. Pengetahuan dan kepakaran dalam proses semulajadi bumi
serta pemetaan terperinci geobencana yang disediakan oleh JMG akan memastikan
perancangan pembangunan yang mampan. Selaras dengan komitmen negara
terhadap pengurusan risiko bencana berdasarkan World Summit Outcome 2005
on Human Security dan Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-
2030. JMG perlu mempertingkatkan kepakaran bagi memberi input penting
geosains dalam perancangan pembangunan dan membantu pemulihan pasca
kejadian bencana.
13. PENEROKAAN SUMBER TENAGA ALTERNATIF
Bekalan tenaga elektrik merupakan prasarana asas yang penting bagi memacu
pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat. Negara perlu meneroka
sumber tenaga alternatif bagi menambah sumber bekalan tenaga elektrik negara
dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga fosil. Penerokaan
sumber tenaga yang boleh diperbaharui (renewable energy) atau tenaga hijau
(green energy) merupakan langkah kerajaan bagi menzahirkan kesungguhan
negara mengurangkan pembebasan gas rumah hijau (greenhouse gases) dalam
usaha mengurangkan kesan pemanasan global. Dalam hal ini, JMG perlu
memainkan peranan aktif dalam mengenal pasti sumber tenaga alternatif seperti
sumber geoterma dan coal bed methane.
Di samping itu, penerokaan sumber mineral untuk silika, unsur nadir bumi (rare
earth element) dan thorium bagi penghasilan bahan termaju untuk penjanaan
sumber tenaga diperbaharui dan tenaga hijau perlu dipertingkatkan selaras
dengan perkembangan semasa.