PUTRAJAYA: Syarikat Malaysia perlu merebut banyak potensi besar dalam memenuhi trend permintaan produk teknologi tinggi berasaskan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).
Menteri Tenaga dan Sumber Ali, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, peluang ini wajar dimanfaatkan kerana harga mineral itu bakal melonjak besar dalam tempoh dua dekad kelak.
Bahkan ujarnya, jika dinilai trend semasa, pengeluaran sumber ini dijangka terus meningkat dan akan menjadi keperluan utama kepada ledakan bidang Revolusi Industri Keempat (4IR).
“Harga mineral ini juga bakal naik melebihi 700 peratus dalam tempoh 20 tahun akan datang,” katanya berucap pada perasmian Simposium Ke-10 NR-REE bertemakan ‘NR-REE: Khazanah Masa Depan, Sekarang atau Tiada’ itu, di sini hari ini.
Teks kenyataan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosli Isa
Mengulas lebih lanjut, Takiyuddin berkata, trend harga galian itu juga didapati menokok pada setiap tahun ekoran permintaan tinggi dalam kalangan sektor pembuatan 4IR di seluruh dunia.
“Bahan mentah ini jika diproses boleh digunakan untuk kereta elektrik, komputer, telefon pintar, industri bateri, magnet berintensiti tinggi, pembuatan kaca dan banyak lagi produk,” katanya.
Beliau memberi contoh, situasi pengeluaran sumber NR-REE dunia pada ketika ini didominasi oleh China dengan anggaran sekitar 120,000 tan sehingga 168,000 tan direkod setiap tahun.
Malaysia pula jelasnya, hanya memanfaatkan pengeluaran sumber mineral dari jenis monazite dan xenotime iaitu produk sampingan dari perlombongan bijih timah dengan hanya 1,645 tan.
Berdasarkan harga semasa NR-REE global pada ketika ini, nilai pengeluaran secara kasar atau mentah yang kelaziman disebut sebagai carbonite sudah pun mencecah RM40,000 satu tan.
Justeru tegasnya, NR-REE dijangka menjadi sumber baharu ekonomi yang bernilai tinggi dan Malaysia perlu segera memanfaatkan mineral berkenaan untuk menjana pendapatan eksport.
“Saya yakin, negara kita mampu bersaing sebagai pemain utama di peringkat sejagat dalam pembekalan komoditi NR-REE terutamanya di peringkat rantau Asia Tenggara,” kata Takiyuddin.
Industri perlombongan mineral itu jika diteroka secara lestari, bukan sahaja menguntungkan Malaysia, malahan menarik minat ramai pelabur asing sebagai sumber bekalan selain dari China.
Tambahan pula ujarnya, berdasarkan kajian di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dari 2016 sehingga 2020 lalu, Malaysia dianggarkan memiliki 15.2 juta tan NR-REE bernilai RM741 bilion.
Potensi sumber ini tambah beliau, sudah dikenal pasti banyak terdapat di sekitar kawasan pedalaman Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Terengganu.
Sehubungan itu, pembangunan NR-REE di Malaysia akan menjadi peluang baharu yang harus digunakan sebaiknya oleh pihak kerajaan bagi merancakkan semula industri mineral negara. – UTUSAN