Polis serbu gudang di Banting simpan REE dilombong secara haram di Gua Musang

Screenshot 2024 12 12 081459

KUALA LUMPUR: Polis menahan 55 individu ketika membongkar kegiatan perlombongan bahan mineral unsur nadir bumi (REE) disyaki secara haram di Gua Musang, Kelantan sebelum bahan itu dikumpul serta diproses di Banting, Selangor untuk dieksport ke luar negara, kelmarin.

Semua mereka ditahan menerusi Operasi Khazanah Khas 1/24 dalam tiga serbuan berasingan dengan dua serbuan di Gua Musang dan satu serbuan di Banting bermula jam 5.40 pagi.

Serbuan pertama dijalankan di sebuah lombong REE dipercayai beroperasi secara haram di FELDA Aring 8, Gua Musang pada jam 5.40 pagi sebelum menyerbu sebuah stor di lokasi berhampiran pada jam 8.40 pagi.

Serentak dengan serbuan itu, anggota polis menyerbu sebuah gudang di Kawasan Perusahaan Olak Lempit, Banting yang disyaki menjadi lokasi transit bahan REE yang disyaki dilombong secara haram di Gua Musang.

Hasil serbuan di Olak Lempit, polis menahan empat individu, iaitu seorang tempatan dan tiga warga asing, manakala di FELDA Aring, seramai 46 suspek ditahan termasuk lima tempatan, manakala bakinya terdiri daripada warga asing pelbagai warganegara.

Polis turut melakukan tangkapan susulan membabitkan lima lagi individu semuanya warga tempatan, dengan keseluruhan 55 tangkapan terdiri daripada 14 tempatan dan 41 warga asing berusia lingkungan 26 hingga 63 tahun.

Dalam serbuan di Olak Lempit, polis merampas lebih 5 tan bahan mineral REE dianggarkan bernilai ratusan ribu dan individu yang ditahan itu berperanan mengendalikan proses transit, pengeringan serta pembungkusan bahan itu.

BH yang turut serta dalam serbuan itu mendapati timbunan kampit dipercayai mengandungi bahan mineral REE berada dalam gudang berkenaan bersama mesin pengering industrial whizzer yang digunakan untuk mengering dan memejalkan bahan berkenaan.

Difahamkan, bahan itu dibawa ke gudang berkenaan dari pusat perlombongan haram REE di Gua Musang ke gudang itu dengan penghantaran sekali setiap sebulan.

Seterusnya, pekerja di gudang terbabit mengeluarkan bahan mineral dalam bentuk mendapan basah itu dari guni kampit asal seberat kira-kira 40 kilogram setiap satu untuk dikeringkan menggunakan mesin industrial whizzer terbabit.

Isytihar tanah liat, baja

REE yang sudah kering dan pejal akan dibungkus semula dalam guni kampit yang lain dan dipercayai akan dihantar ke pelabuhan berhampiran untuk dieksport dengan kontena dengan muatan diisytiharkan sebagai tanah liat dan baja dipercayai untuk mengaburi pihak berkuasa.

Secara keseluruhan, polis merampas 146 guni kampit dari gudang terbabit dipercayai mengandungi bahan mineral REE dengan 116 daripadanya masih belum dikeringkan dan 30 guni kampit lagi sudah siap dikeringkan.

Susulan serbuan itu, sepasukan penguat kuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor serta pegawai Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) (Selangor/Wilayah Persekutuan) turut dipanggil ke lokasi serbuan untuk membantu proses pengesahan dan dokumentasi mineral yang dirampas.

Di gudang yang diserbu, pegawai JMG diketuai Pengarah JMG Selangor/Wilayah Persekutuan, Rusli Tuan Mohamed, melakukan ujian rapid test di lapangan terhadap sampel mineral dan hasil ujian awal dijalankan mengesahkan bahan mineral yang dirampas itu mengandungi REE.

 

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input