ALOR SETAR: Kerajaan Kedah mendesak agar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri ini diluluskan secepat mungkin bagi mengelak bahan mineral itu dieksport secara haram.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun Kedah sudah mengeluarkan SOP sendiri, namun aktiviti eksplorasi tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh kerana terikat dengan undang-undang berkaitan pengeksportan bahan itu.
“Kita tunggu SOP Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam. Itu pun melengah-lengahkan juga. Dasar yang disebut oleh Perdana Menteri, kita mahu industri hiliran REE berlaku di sini. Tidak menjual secara mentah.
“Pada masa ini teknologi tertinggi untuk proses REE di China yang boleh buat pengasingan 17 elemen. Kita harap teknologi itu dapat dipindahkan ke sini, tapi China buat dasar tidak mahu berkongsi. Perkara ini yang menjadi pertimbangan kementerian terlibat.
“Kita ada SOP sendiri tetapi tidak boleh laksana. Kita hanya benarkan eksplorasi, tidak boleh tebang pokok. Cuma bila REE dibawa keluar, mahu jual mana? Kalau tidak boleh eksport macam mana mahu bawa keluar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran The Greater Kedah di sini hari ini.
Menurut beliau, kerajaan juga bimbang akan berlaku penyelewengan bahan itu ekoran kelewatan SOP dan eksplorasi REE sekali gus merugikan negara.
“Ini pasal yang telah berlaku isytihar REE sebagai ‘lanthanide’, tidak tahu berapa banyak sudah keluar, saya rasa mereka (Kerajaan Persekutuan) tahu (aktiviti) ini.
“Ia bukan berlaku di Kedah tapi di negeri lain, saya sudah beritahu dulu di seluruh negara ada 25 lombong haram, hanya ada satu di Kedah, negeri lain berlambak tapi kenapa hanya di Kedah yang ada satu saja mereka bising,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan supaya kerajaan mewujudkan SOP mengenai perlombongan REE bagi mengelak penyelewengan.
Mengulas lanjut, Sanusi berkata, kerajaan negeri turut mengadakan tindakan susulan berkaitan permohonan SOP tersebut namun sehingga kini belum memperoleh maklum balas.
“Hari-hari buat susulan, kita ada mesyuarat majlis tanah, kita bangkitkan, mesyuarat PM dengan MB pun kita tanya juga. Kita harap Kerajaan Persekutuan buat dasar cepat-cepat sama ada mereka bagi atau tidak bagi. Kalau tidak benar kita mahu pelabur bina tiga hiliran (pengeringan, pemprosesan dan penggunaan) dan huluan iaitu perlombongan,” katanya. – UTUSAN