Dasar Mineral Negara Ketiga fokus pacu industri secara komprehensif - Nik Nazmi

Screenshot 2024 10 24 100145

KUALA LUMPUR: Dasar Mineral Negara Ketiga (DMN3) bagi memacu pembangunan industri mineral negara secara komprehensif akan membabitkan keseluruhan proses rantaian termasuk penerokaan, pengeluaran dan pemprosesan sehingga kepada pengkomersialan produk.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata keseluruhan rantaian berkenaan memfokuskan kepada eksploitasi sumber mineral yang lestari, sambil mengimbangkan pembangunan ekonomi dan aspek pemeliharaan alam sekitar.

Melalui pendekatan holistik ini, katanya, sektor mineral diharap memberi impak lebih besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI), sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.

"Ia di samping bagi memastikan pemeliharaan sumber semula jadi untuk generasi akan datang.

 

"Pendekatan ini bukan sahaja melindungi warisan alam Malaysia, tetapi juga meletakkan negara sebagai pemimpin dalam pembangunan mineral hijau yang penting untuk ekonomi global masa depan," katanya melalui ucapan sempena Majlis Perasmian Persidangan Asia Iron Ore Summit 2024, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk Zamri Ramli.

 

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata pembangunan sumber mineral sudah menjadi asas ekonomi negara yang menyumbang secara signifikan kepada industri domestik dan eksport.

"Negara kita kaya dengan pelbagai jenis mineral termasuk timah, bauksit, emas, bijih besi, tembaga, silika, kaolin, dan elemen nadir.

"Selama bertahun-tahun, pendekatan untuk membangunkan sumber ini telah berkembang daripada amalan perlombongan tradisional kepada kaedah yang lebih lestari dan canggih dengan menggunakan teknologi," katanya.

Justeru, beliau berkata sidang kemuncak Asia Iron Ore Summit 2024 penting bagi industri mineral negara kerana pembangunan bijih besi menjadi tonggak utama yang menyokong kedua-dua penggunaan domestik dan eksport.

"Pendekatan lestari dan inovatif penting dalam memastikan pertumbuhan dan kejayaan berterusan industri mineral negara.

"Pada tahun ini, pengeluaran bijih besi Malaysia dijangka mengekalkan trajektori positifnya, didorong permintaan meningkat untuk keluli dan produk berasaskan bijih besi baik dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa," katanya.

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input