Kaji cerun lebih terperinci elak kejadian tanah runtuh berulang – Sultan Pahang

Capture

 

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu kajian khusus mengenai cerun dilakukan agar kejadian tanah runtuh tidak berulang.

“Saya harap pihak yang pakar mengenai cerun seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) membuat tinjauan dan kajian terperinci.

“Kita perlukan kajian ini, kita perlu nasihat dan pandangan yang tepat bagi mengatasi kejadian cerun atau tanah runtuh terutamanya di tempat sama.

”Kita nak bagi keyakinan seandainya tempat yang dihuni mereka adalah selamat atau sebaliknya,” titah baginda ketika melawat Kampung Orang Asli Sungai Ruil di Cameron Highlands hari ini.

 

Ujar baginda, kajian terperinci perlu dilakukan supaya terdapat penilaian terutama di kawasan kepadatan penduduk tinggi agar kejadian bencana seumpama itu tidak berulang.

Pada lawatan itu baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 12 buah keluarga yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh pada Isnin lalu.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menasihatkan penduduk terlibat agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling terutamanya ketika musim hujan kerana malang tidak berbau.

“Saya harap semua mangsa bersabar, kejadian ini bukanlah kehendak kita tapi semuanya dari Allah SWT. Terima kasih kepada semua agensi terlibat, masuk kali keempat kawasan ini (Sungai Ruil) terlibat dengan tanah runtuh.

“Kita tidak boleh lari dari masalah cerun dan tanah runtuh ini kerana ia adalah natural force, namun ia bukan hanya berlaku di Pahang tetapi juga di tempat lain seperti di Selangor baru-baru ini,” titah baginda.

Pada 7 Oktober lalu, seramai 70 orang penduduk terdiri daripada 12 buah keluarga terbabit dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sungai Ruil selama 11 hari susulan kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur yang berlaku di perkampungan berkenaan. – MalaysiaGazette

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input