Tanah runtuh Taman Melawati: Ini satu rahmat buat kami – Penduduk

Screenshot 2024 10 18 092307

AMPANG JAYA – Penduduk di sekitar kawasan perumahan Jalan E6, Taman Melawati, di sini, menyifatkan insiden runtuhan tanah di tebing setinggi 30 meter berhampiran kediaman mereka adalah sebagai satu rahmat.

Hasnah Said, 45, berkata, hikmah daripada berlakunya bencana alam itu adalah menjadikan penduduk setempat lebih akrab seperti satu keluarga besar.

“Memang kami sedih dan terkesan, tetapi perlu berfikir positif dengan apa yang berlaku. Kami menganggap kejadian tanah runtuh ini adalah satu rahmat buat penduduk di sini.

“Dahulu, kami hanya kenal sekadar rupa kerana masing-masing ada urusan kerja dan lain. Kami hanya keluar pagar dan hanya senyum serta bertegur sapa sahaja.

“Apabila berlaku kejadian ini, masing-masing ambil berat antara satu sama lain dan menjadikan kami lebih akrab,” katanya kepada Kosmo! di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Jalan E5, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hasnah berterima kasih kepada semua pihak terlibat di atas sumbangan serta bantuan kepada penduduk Taman Melawati yang terjejas.

“Bantuan kepada kami lebih dari cukup. Segala keperluan harian semuanya cukup. Terima kasih sangat kepada semua pihak terlibat sudi bantu kami, lawat kami. Alhamdulillah,” luahnya.

Hasnah bersama 22 lagi penduduk kini berada di PPS sehingga mendapatkan kebenaran untuk pulang ke kediaman masing-masing.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memberi jaminan bahawa kediaman penduduk yang ditinggalkan ekoran terjejas dengan insiden tanah runtuh di sini berada dalam keadaan selamat.

Katanya, pihak polis bersama agensi penguat kuasa yang lain sentiasa memantau serta menjalankan kawalan ketat di lokasi kejadian.

“Petang ini akan ada mesyuarat antara polis dan wakil agensi, kita akan bincang sama ada penduduk boleh balik atau tidak (kediaman). Ia melibatkan mesyuarat penyelarasan bencana,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input