Tangani runtuhan tanah Hutan Simpan Rimba Teloi elak risiko banjir puing

Screenshot 2024 10 17 100520

BALING: Agensi kerajaan berkaitan digesa mengambil tindakan segera bagi menangani masalah runtuhan tanah di Hutan Simpan Rimba Teloi, dekat sini, bagi mengelak kejadian banjir puing berulang di Kampung Teluk Rambong.

Ahli Dewan Negara, Abd Nasir Idris, berkata hujan berlarutan sejak dua minggu lalu dibimbangi meningkatkan risiko banjir puing, sekali gus boleh menyebabkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.

Katanya, perkara itu tidak boleh dipandang ringan dan tindakan segera perlu diambil bagi menstabilkan cerun yang runtuh supaya kejadian banjir yang membawa lumpur, pasir dan pokok tidak berulang.

"Kawasan-kawasan macam ni kita anggap kawasan yang kemungkinan akan berlaku semula (banjir puing) itu tinggi.

"Kali ni mungkin tak melibatkan nyawa manusia, tapi tak mustahil kalau kita tak tangani dan tak buat kajian atau pun tidak mengambil iktibar daripada perkara yang berlaku awal ini, satu hari nanti berlaku perkara yang kita tak ingini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat rumah penduduk kampung Mohd Naim Asri Baharom, 46, yang musnah akibat banjir.

Abd Nasir yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu berkata agensi bencana serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Mineral dan Geosain (JMG) dan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) perlu duduk semeja mengatasi masalah itu.

Sebelum ini 15 keluarga di Kampung Teluk Rambong terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dilanda banjir yang turut membawa lumpur, pasir dan kayu.

Tinjauan udara di kawasan bukit Lata Celak mendapati sekurang-kurangnya 10 lokasi tanah runtuh berlaku yang memberi kesan kepada penduduk di kaki bukit berkenaan.

Penduduk Kampung Teluk Rambong mendakwa terdapat aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Rimba Teloi yang terletak di daerah Sik dan bersempadan kampung itu kira-kira 15 tahun lalu.

Bagaimanapun, JPNK menafikan dakwaan terdapatnya pembalakan di Bukit Lata Putih.

Pengarahnya, Muhamad Abdullah, berkata tanah itu milik persendirian dan bukan sebahagian seliaan JPNK

 
 

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input