AMPANG: Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk Zamri Ramli mengesahkan tiada pergerakan tanah berlaku di kawasan runtuhan di Taman Melawati di sini.
Jelasnya, pemantauan telah dilakukan kira-kira dua jam di sekitar kawasan runtuhan sejak pagi tadi.
“Daripada pemerhatian kami pemeriksaan yang kita buat dalam dua jam, kita tengok semua tempat tiada pergerakan tanah berlaku, jadi kita beri tumpuan kepada mitigasi,” katanya.
Jelas Zamri lagi, selain tanah di bahagian atas, di bawah kawasan lereng bukit itu terkandung batuan jenis metamorfik jenis ‘schist’ dan bukannya batu kapur seperti didakwa.
“Yang ni dipanggil batuan schist, iaitu batuan jenis metamorfik dia bukan batu kapur dan bukan batuan jenis granite,” ujarnya.
Dalam pada itu, kerja-kerja pemakuan tanah akan dilakukan di lokasi kejadian bagi mengurangkan risiko kejadian tanah runtuh berulang di tempat sama.
“Proses pemakuan tanah akan dilakukan dan kerja pembaikan cerun akan mengambil masa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di lokasi tanah runtuh Taman Melawati di sini hari ini.
AMPANG JAYA: Kerja pembaikan cerun di lokasi tanah runtuh di Taman Melawati dijangka menggunakan kaedah pemakuan tanah atau 'soil nailing'.
Kerja-kerja pembaikan ini dijangka mengambil masa bagi memastikan dasar tanah berada dalam keadaan kukuh.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kerja membina tembok penahan pergerakan tanah juga turut akan dilaksanakan.
"Proses pelaksanaan pembaikan ini akan dilaksanakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan mengadakan libat urus bersama pemaju.
"Proses ini adalah satu bentuk rawatan dan pemulihan kekal bagi memastikan kestabilan cerun dan keselamatan penggunaan jalan pada masa hadapan," katanya selepas meninjau lokasi tanah runtuh Taman Melawati, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pada masa ini tindakan mitigasi jangka pendek yang dikenal pasti adalah pembersihan sisa runtuhan termasuk longkang di bahagian atas dan di bawah cerun.
"Selain itu kerja-kerja mencantas pokok di kawasan cerun, pengalihan sementara laluan air dan menutup runtuhan cerun dengan kanvas.
"Menjelang petang ini, kita jangkakan hampir kesemua kawasan cerun yang runtuh akan ditutupi kanvas," katanya.
AMPANG - Struktur tanah di kawasan kejadian tanah runtuh di lereng bukit Taman Melawati, di sini masih kukuh dan tiada berlaku pergerakan tanah berterusan di lokasi kejadian.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, siasatan awal Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (CKC JKR) di lokasi kejadian kegelinciran tanah itu mendapati runtuhan cerun disebabkan hakisan tanah.
Beliau berkata, kegagalan cerun yang berlaku di kawasan kejadian merupakan hakisan tanah di atas kawasan permukaan sahaja.
Tambah beliau, hakisan itu hanya membabitkan bahagian permukaan tanah yang gelincir akibat aliran air melimpah ke permukaan cerun.
"Siasatan CKC JKR juga mendapati batuan sedimen dasar di bukit berkenaan masih kukuh.
"CKC JKR selaku pengerusi Jawatankuasa Kerja Tanah Runtuh di bawah Pelan Induk Cerun Negara akan kemukakan laporan khidmat nasihat pakar teknikal serta cadangan pembaikan kepada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk Zamri Ramli.
Tel: (+603) 8871 6000
Faks: (+603) 8871 6145 / 46
Email: helpdesk@jmg.gov.my