KUALA LUMPUR, 3 Disember-Langkah kerajaan memperkenalkan dasar larangan eksport bahan mentah unsur nadir bumi (REE) dilihat sebagai langkah strategik untuk memastikan industri tersebut dapat dibangunkan di peringkat pertengahan dan hiliran.
Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pendekatan tersebut juga berpotensi memberi pulangan hasil yang tinggi berbanding menjual bahan mentah berkenaan.
Menurut Nik Nazmi, selaras dengan tujuan tersebut, satu pasukan petugas khas ditubuhkan untuk merangka hala tuju pembangunan industri REE di Malaysia.
Jelasnya, penubuhan pasukan berkenaan merupakan hasil inisiatif bersama Kementerian Ekonomi , Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, (MITI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Kewangan (MOF) pada 14 Oktober lepas.
"Namun demikian, bagi memastikan pembangunan industri REE negara tidak terhenti, Kementerian telah mengambil inisiatif untuk membentangkan kertas dasar hala tuju pembangunan industri REE dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 5 Ogos 2024.
"Berdasarkan keputusan mesyuarat MTEN, Kementerian telah mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh tempatan dan luar negara bagi meneroka potensi dan kapasiti untuk membangunkan industri REE di Malaysia", katanya demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan di Parlimen hari ini.