NRES tingkat kerjasama dengan pihak berkuasa kekang perlombongan haram, penyeludupan REE

Screenshot 2024 12 12 083126

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa, terutama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi mengekang kegiatan perlombongan unsur nadir bumi (REE) secara haram serta penyeludupan bahan mineral itu ke luar negara.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pihaknya sedia maklum mengenai isu itu membabitkan beberapa lokasi, termasuk di Kedah, Perak dan Kelantan.

"Kegiatan itu memang merugikan negara, justeru kita sedang berusaha mengekangnya. REE adalah perkara baharu untuk pihak berkuasa, malah ada sebahagiannya tidak maklum lagi bentuk REE.

"Saya juga ada dengar maklumat, kadang-kadang REE keluar dari sempadan secara sah tetapi diisytiharkan sebagai tanah liat atau benda lain.

"Oleh itu, kita sedang meningkatkan kerjasama dengan JKDM dan PDRM untuk mereka juga faham bagaimana bentuk REE dan penyeludupan ini berlaku," katanya kepada pemberita selepas menjadi panel pada Sesi Dialog Pasca Persidangan Parti-Parti Ke-16 Kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD COP16), di sini, hari ini.

Kelmarin, polis menahan 55 individu ketika membongkar kegiatan perlombongan REE disyaki secara haram di Gua Musang, sebelum bahan itu dikumpul dan diproses di Banting, Selangor, untuk dieksport ke luar negara.

Kesemua mereka ditahan melalui Operasi Khazanah Khas 1/24 dalam tiga serbuan berasingan membabitkan dua di Gua Musang dan satu lagi di Banting.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, pihaknya yakin usaha mengekang penyeludupan REE mampu dilaksanakan jika Lynas mampu memproses bijih dari Malaysia.

"Ketika ini, Lynas belum lagi memproses bijih dari Malaysia tetapi mereka sedang mengkaji melaksanakan pemprosesan bijih dari Malaysia.

"Selain itu, ada juga kerjasama dengan pihak lain seperti di Perak yang sedang melaksanakan projek perintis pemprosesan.

"Jadi apabila ia dapat diperkembangkan dengan lebih baik, saya yakin itu akan mengecilkan ruang untuk aktiviti perlombongan haram berlaku," katanya.

Sementara itu berhubung Sesi Dialog Pasca CBD COP16 pula, Nik Nazmi berkata, Malaysia menjadi antara negara pertama yang mengintegrasikan kerangka biodiversiti global, iaitu Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework (KMGBF) ke dalam Pelan Tindakan dan Strategi Biodiversiti Kebangsaan (NBSAP), melalui Dasar Kepelbagaian Biodiversiti Kebangsaan (DKBK) 2022-2030.

Beliau berkata, pencapaian itu adalah sangat signifikan kerana hanya ada 20 peratus negara peserta yang berbuat demikian, setakat ini.

Katanya, pencapaian Malaysia turut menarik perhatian Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, ketika ucapan pembukaan CBD COP16 yang mengiktiraf inisiatif Malaysia dalam melipatgandakan usaha mengekang kegiatan penyahutanan.

Selain itu, beliau berkata, Malaysia turut memenangi beberapa anugerah pada CBD COP16 yang berlangsung dari 20 Oktober hingga 2 November lalu di Cali, Colombia.

Did this page help you?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input