Kajian bencana penting sebagai tindakan proaktif menyelamat

screencapture utusan my rencana 2024 10 kajian bencana penting sebagai tindakan proaktif menyelamat 2024 10 21 07 56 26

TRAGEDI tanah runtuh dan kepala air sehingga menyebabkan kehilangan nyawa manusia, harta benda dan memberikan kesan kepada beribu-ribu orang menjadi cerita berkala yang mengerikan selepas bencana berlaku. Secara perlahan-lahan tragedi itu hilang daripada ingatan ramai sehinggalah kejadian baharu berlaku pula.

Pihak bertanggungjawab mengenal pasti titik panas membabitkan kepala air dan banjir, memaklumkan kepada semua pihak berkepentingan dan mengambil langkah awal keselamatan terutama kawasan yang menjadi tumpuan musim cuti persekolahan atau pelancongan.

Musim perubahan Monsun Barat Daya antara masa selalu berlaku kejadian tanah runtuh dan banjir apabila curahan hujan yang melampau dan terdapat banyak kawasan hutan diterokai terutamanya di kawasan lereng bukit atau tanah tinggi.

Apabila musim hujan berlaku, kerjasama pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dengan semua pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sangat penting bagi mengambil tindakan awal sebelum bencana berlaku agar dapat menyelamatkan ramai orang serta memberikan pendidikan kepada masyarakat.

Maklumat yang disampaikan oleh pihak MET Malaysia mesti segera dianalisis dan diambil tindakan terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi dan titik panas yang sudah dikenal pasti.

Begitu juga dengan menasihati masyarakat awam dan pengusaha tempat rekreasi, penginapan dan penduduk tempatan mesti segera dilaksanakan.

MET Malaysia sebagai peneraju unggul dalam bidang meteorologi, iklim dan geofizik, bukan sahaja membekalkan perkhidmatan meteorologi, iklim dan geofizik yang cekap dan berkesan untuk kesejahteraan, keselamatan dan pembangunan lestari, tetapi juga menjalankan penyelidikan di kawasan sensitif dan titik panas yang dikenal pasti.

Kajian tahap curahan hujan dan keadaan muka bumi misalnya yang mungkin sensitif boleh berlaku kepala air dan tanah runtuh perlu bagi memandu keputusan pembangunan dan tindakan keselamatan serta persediaan yang perlu dilakukan.

Hasil kajian akan dapat memberikan maklumat kepada semua pihak agar mengambil tindakan proaktif bukan sahaja untuk keselamatan nyawa manusia mahupun harta benda tetapi juga alam sekitar serta kepelbagaian biologi termasuk kemungkinan berlaku konflik hidupan liar dengan manusia selepas bencana dan dalam masa jangka panjang.

Kajian, maklumat, langkah persediaan, aktiviti pemantauan dan peringatan akan dapat meyakinkan masyarakat awam terutamanya penduduk tempatan yang berada dalam ketakutan apabila berlaku musim hujan dan teringat peristiwa lepas tentang tanah runtuh dan kepala air.
Pemantauan di kawasan sensitif dapat menjangkakan tindakan tepat yang boleh diambil.

Kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pemaju di kawasan sensitif mestilah sentiasa merujuk panduan sedia ada dan sentiasa ditambah baik hasil pemantauan dan kajian demi keselamatan awam.

Kos merujuk dan mengikut panduan jauh lebih murah berbanding dengan kos menyelesaikan masalah bencana.

IMPAK ALAM SEKITAR
Setiap kali bencana, perkara sama selalu disebut berkaitan pembangunan yang tidak selari dengan perubahan alam sekeliling dan jangkaan kesannya. Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang tidak begitu cekap dan tidak diikuti dalam setiap perancangan pembangunan dan selepasnya boleh memberikan kesan buruk kepada alam sekitar.

EIA adalah satu kaedah bagi mengenal pasti dan meramal kesan negatif serta positif sesebuah projek pembangunan yang akan dijalankan terhadap persekitaran, kesihatan manusia, sosial dan ekonomi.

Pandangan dalam laporan EIA mesti dihormati kerana ia telah dilakukan oleh pakar-pakar daripada pelbagai bidang dan mendapat pandangan awam termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kegagalan dalam penyediaan laporan EIA yang baik, penelitian oleh pihak yang berkepentingan serta tindakan semasa pembangunan dan selepasnya, menyebabkan teguran yang sama berlaku selepas bencana seperti banjir kilat, tanah runtuh selain mengganggu struktur alam semula jadi.

Semua pihak mesti melihat laporan atau perancangan pembangunan terutamanya mereka yang akan terlibat dalam menyelamatkan mangsa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Kejadian tanah runtuh Batang Kali, Selangor pada 2022 yang menyebabkan kematian terbesar seramai 31 orang dalam sejarah dan tragedi kepala air dan banjir lumpur pada 2021 di Gunung Jerai, Kedah yang mengorbankan enam nyawa serta mengakibatkan lebih 2,000 penduduk terkesan, masih segar dalam ingatan yang membuatkan ramai dalam ketakutan.

Malah kejadian Highland Tower di Kuala Lumpur runtuh pada 1993 juga masih menjadi contoh perbincangan.

Pemantauan boleh dilakukan dengan mudah dengan teknologi maju. Koleksi data harian di kawasan sensitif boleh dilakukan dengan cepat dan dianalisis untuk tindakan segera terutamanya tanda amaran kepada penduduk tempatan atau kawasan rekreasi. Semua kawasan rekreasi mesti dikenal pasti dan sistem amaran awal mesti disediakan.

Penggunaan kemudahan yang dilengkapi dengan sistem kawalan penerbangan maju dan berteknologi navigasi membolehkan mereka terbang secara automatik melalui laluan yang ditetapkan dengan keupayaan melaporkan kedudukan, arah, mengambil gambar serta data-data alam sekeliling dan menghantar maklumat terus kepada stesen kawalan diperlukan.

Dengan kepakaran yang ada, maklumat yang didapati dapat memandu keputusan dalam memberikan nasihat, amaran kepada umum dan tindakan lain pihak berkuasa.

Oleh kerana ada bencana yang boleh diramalkan dan ada bencana yang tidak dijangka, maka kajian tentang bencana perlu dilakukan sepanjang masa dan melibatkan pelbagai pihak.

Kajian-kajian yang dilakukan di universiti mungkin boleh dikongsikan dan peruntukan kewangan untuk kajian bencana juga perlu mencukupi sebagai tindakan proaktif kawalan bencana.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia.

Did this page help you?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input