Kedah miliki 1.196 juta tan rizab REE, gesa Pusat segerakan SOP

Screenshot 2024 11 25 113319

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan meneruskan usaha penerokaan unsur nadir bumi (REE) bagi memastikan hasil baharu itu membawa manfaat kepada rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata penerokaan REE antara langkah yang mampu mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan negeri seiring hasrat meningkatkan sasaran hasil RM1 bilion menjelang 2028.

Berikutan itu katanya, kerajaan negeri menggesa Kerajaan Persekutuan menyegerakan prosedur operasi standard (SOP) dalam aktiviti pengekstrakan REE.

"REE dikategorikan sebagai sumber hasil paling berdaya maju untuk tahun mendatang, rizab REE Kedah dianggarkan berjumlah 1.196 juta tan.

"Angka ini adalah penerokaan hasil baharu yang dijangka diekstrak dalam tempoh 10 tahun akan datang. Kita mengharapkan potensi REE akan membawa impak besar kepada ekonomi Kedah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2024 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 2025 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, selain hasil REE, kerajaan negeri juga melaksanakan beberapa langkah lain bagi meningkatkan hasil antaranya semakan hasil tanah yang akan berkuat kuasa mulai 2026.

Katanya, semakan itu adalah untuk menyesuaikan kadar hasil dengan nilai pasaran hartanah semasa.

"Ia juga langkah untuk meningkatkan kutipan hasil secara konsisten dan terancang bagi tempoh 10 tahun akan datang.

"Kerajaan negeri memerlukan kedudukan kewangan yang kukuh untuk dibelanjakan bagi memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat," katanya.

Selain itu, Muhammad Sanusi menjelaskan, penerokaan hasil baharu seperti kredit karbon juga menjadi antara teras dalam mencapai sasaran kutipan hasil RM1 bilion.

Katanya, potensi untuk mendapatkan hasil daripada penjualan karbon kepada syarikat domestik dan antarabangsa yang ingin memenuhi piawaian mesra alam yang mampu menjana pendapatan lumayan kepada negeri.

"Dengan usaha serta komitmen yang tinggi semua agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT), kita yakin sasaran untuk mencapai hasil kerajaan negeri RM1 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang mampu untuk dicapai," katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan perlu mengeluarkan SOP bagi ekplorasi REE dengan segera bagi mengelak hasil mineral itu dieksport secara haram ke luar negara.

Dakwanya, ini berikutan terdapat pihak mengambil kesempatan dengan mengisytiharnya sebagai lantanida bagi membolehkan ia dieksport ke luar negara.

 

Did this page help you?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input