Fenomena proses geologi berangkai faktor utama bencana banjir di Baling

PUTRAJAYA, 5 Ogos (Bernama) -- Fenomena proses geologi berangkai - hujan lebat, tanah runtuh, aliran dan banjir puing serta banjir lumpur - dikenal pasti sebagai penyebab utama kejadian bencana banjir di Baling, Kedah baru-baru ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Rosli Isa.

Beliau berkata ia adalah penemuan dalam Laporan Kajian Bencana Geologi Banjir Puing 2022 Sungai Kupang, Baling, Kedah yang dihasilkan Pasukan Khas Siasatan Bencana Tragedi Baling yang diketuai KeTSA.

Beliau berkata penemuan itu merumuskan fenomena proses geologi berangkai iaitu kejadian tanah runtuh serentak secara meluas di terain perbukitan granit terluluh hawa berlaku akibat cetusan hujan lebat melampau.

“Cetusan hujan lebat melampau itu kemudiannya diikuti dengan pembentukan aliran puing, banjir puing dan banjir lumpur.

“Hakisan di hutan sekunder akibat penukaran guna tanah kepada hutan ladang sejak 2010 juga telah meningkatkan kadar hakisan di kawasan tanah tinggi membawa kepada perlodakan dan mencetekkan sungai,” katanya dalam sidang media Laporan Kajian Bencana Geologi Banjir Puing 2022 Sungai Kupang, Baling, Kedah, di sini hari ini.

Beliau berkata banjir diburukkan lagi apabila jambatan Kampung Iboi, Baling yang menjadi ‘empangan sementara’ ketika banjir puing berlaku telah pecah. 

“Ini menyebabkan banyak puing pasir dan kayu-kayan terkumpul dan menghasilkan kuasa damparan tinggi serta mengakibatkan kematian dan kemusnahan harta benda.

“Apabila bahan puing pasir dan kayu-kayan sudah terdampar, banjir puing menjadi banjir lumpur yang menyebabkan kerosakan harta benda dan petempatan di hilirnya,” katanya, lebih tujuh juta meter padu (m3) bahan terdampar terhasil akibat fenomena itu. 

Sehubungan itu, Rosli berkata beberapa pelan jangka pendek dan panjang telah dirangka bagi memastikan fenomena proses geologi berangkai khususnya di Baling dapat dikawal. 

Antara tindakan yang akan dilaksanakan adalah pemetaan terperinci bencana geologi bencana puing, pemasangan sistem amaran dan penubuhan Pusat Penyelidikan Bencana Geologi Kebangsaan.

Banjir di Baling pada 4 Julai lepas menjejaskan 41 kawasan dan mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil berusia 23 tahun.

-- BERNAMA

1000 Characters left


Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input