Kuantan: Kerajaan Pahang bersetuju mengambil langkah proaktif dalam usaha menjadikan daerah Lipis sebagai Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) Global Geopark.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Anggota Perbadanan Taman Negeri Pahang yang dipengerusikan beliau, semalam.
Katanya, geopark adalah sebuah wilayah mengandungi tapak warisan geologi serta landskap berkepentingan antarabangsa dan diurus secara holistik berasaskan konsep pemeliharaan, pemuliharaan, pendidikan dan pembangunan lestari.
"Antara keunikan daerah Lipis selain sebagai Bandar Warisan Pahang adalah terdapatnya batuan Devon-Perm Tengah berusia sekitar 420-270 juta tahun lalu di Pos Betau yang menjadi bukti pertembungan dua plat tektonik yang membentuk Semenanjung Malaysia.
"Aspirasi Lipis Geopark akan menjadi platform untuk memperkasa kepelbagaian warisan daerah Lipis dan pengiktirafan sebagai tapak geopark akan mempertingkatkan sosioekonomi masyarakat setempat melalui kewujudan peluang pekerjaan dan kerancakan aktiviti pelancongan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Rosdy berkata, sebagai langkah awal, kerajaan negeri sudah melakukan perbincangan dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Perbadanan Taman Negeri Pahang.
Katanya, perbincangan itu untuk menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Lipis Geopark yang merangkumi keperluan sumber manusia dan kewangan bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai sebuah Geopark Kebangsaan.
"Pengiktirafan ini antara syarat untuk melayakkan Lipis Geopark dicalonkan sebagai Unesco Global Geopark.
"Sehingga kini, terdapat 177 Unesco Global Geopark di seluruh dunia dan Langkawi Geopark adalah satu-satunya Unesco Global Geopark di Malaysia.
"Selain itu, terdapat enam tapak yang diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan iaitu Langkawi Geopark, Lembah Kinta Geopark, Jerai Geopark, Mersing Geopark, Kinabalu Geopark, Lenggong Geopark dan Labuan Geopark," katanya.
Sumber: Harian Metro