Tiada syarikat diberi kelulusan eksport REE guna istilah lantanid

Screenshot 2024 10 30 080807

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menegaskan tiada syarikat mendapat kelulusan mengeksport unsur nadir bumi (REE) menggunakan istilah lantanid (lanthanide).

NRES menerusi kenyataan memaklumkan, perkara itu berdasarkan rekod Jabatan Mineral dan Geosains Kedah, Perlis, Pulau Pinang (JMGKPP).

Lanthanide adalah sekumpulan 15 unsur yang dikategorikan sebagai REE.

"Berhubung gesaan supaya Kerajaan Persekutuan segera mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk eksplorasi REE, kementerian ingin menegaskan bahawa aspek eksplorasi REE adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa negeri.

"Bagi Kedah, ia merupakan aktiviti yang dikawal di bawah Seksyen 41, Enakmen Mineral Kedah 2004 melalui Lesen Mencari Gali dan Lesen Menjelajah," katanya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, sebelum ini menggesa Kerajaan Persekutuan segera mengeluarkan SOP untuk eksplorasi REE bagi mengelak hasil mineral itu terus dieksport secara haram ke luar negara.

Beliau dilaporkan berkata, ia berikutan ada pihak tertentu dilihat mengambil kesempatan dengan mengisytiharkannya sebagai lantanid bagi membolehkan bahan itu dieksport ke luar negara.

Katanya, keadaan itu menyebabkan negara kehilangan hasil besar kerana ia sepatutnya boleh diproses di dalam negara.

Mengulas lanjut, NRES berkata, pihaknya sebelum ini sudah menyediakan SOP Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Malaysia dan mengedarkannya kepada kerajaan negeri melalui surat bertarikh 20 Disember 2023.

SOP terbabit merangkumi aspek pra-perlombongan, semasa perlombongan dan pasca perlombongan termasuk aspek pemuliharaan kawasan bekas lombong dan pengeksportan.

"Bagaimanapun, kementerian dimaklumkan bahawa pemakaian SOP terbabit masih dalam pertimbangan Kerajaan Negeri Kedah.

"Melalui surat itu juga, kementerian turut memaklumkan pelaksanaan moratorium aktiviti pengeksportan mentah REE sebagai inisiatif bagi membangunkan industri di peringkat pertengahan," katanya.

Buat masa ini, penggerak projek perintis REE di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak yang dijalankan dengan kerjasama kerajaan Perak diberi kebenaran untuk mengeksport REE secara mentah dalam bentuk 'rare earth carbonate' (REC).

Kebenaran pengeksportan yang diberikan kepada pihak syarikat pada masa ini sudah dipersetujui oleh Jemaah Menteri untuk satu tempoh yang munasabah.

Selain daripada itu, kementerian tidak pernah meluluskan apa-apa kebenaran eksport seperti didakwa.

"Kementerian pada masa ini tidak berhasrat untuk membangunkan SOP khusus berkaitan pengeksportan REE kerana prosedur yang dilaksanakan pada ketika ini adalah memadai," katanya.

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input