Gegaran di Ipoh bukan berpunca letupan kuari atau latihan polis - KP Perak

myberitanasional2024101314000gegaran di ipoh bukan berpunca letupan kuari atau latihan polis kp

IPOH: Kejadian gegaran dan dentuman kuat yang berlaku di bandaraya ini, sekitar jam 11.06 pagi tadi bukan berpunca daripada aktiviti letupan kuari atau latihan polis seperti didakwa pengguna media sosial.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata hasil semakan dengan pihak Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta mendapati tiada latihan berkaitan letupan dijalankan pada hari ini.

Selain itu, menurutnya, semakan dengan Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) juga mendapati tiada letupan yang dijalankan di mana-mana kuari sebelum pukul 12 tengah hari.

"Hasil semakan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mendapati, daerah Ipoh tidak terkesan dengan sebarang aktiviti seismik walaupun terdapat kejadian gempa bumi yang berlaku di Halmahera, Indonesia pada jam 11.24 pagi tadi.

 

"Pihak polis sedang menyiasat mengenai insiden ini dan orang ramai dinasihati supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini sehingga mencetuskan kegusaran awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azizi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi Pusat Kawalan Kontinjen Perak di talian 05-2451119 atau 05-2451073 untuk membantu siasatan.

 

Terdahulu, media melaporkan penduduk Ipoh cemas akibat merasi gegaran selama beberapa saat disusuli bunyi kuat seakan dentuman di bahagian atas bangunan.

Tinjauan di media sosial mendapati pengguna mendakwa gegaran terbabit dirasai di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Chemor, Stadium Perak, Meru Raya, Falim dan Gugusan Manjoi.

Selain itu, pengguna media sosial juga mendakwa kejadian sama berlaku di Tanjung Rambutan, Klebang, Jelapang, Tambun, Silibin serta turut dirasai pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora.

Kejadian terbabit turut menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan orang ramai.

 
 

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input