Kota Bharu: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengenal pasti beberapa lagi kawasan di negeri ini berpotensi untuk dibangunkan sebagai Taman Geo (Geopark) termasuk Gua Musang.
Pengarah JMG Kelantan Zaidi Daud berkata, ia berikutan keunikan gua batu kapur serta tapak bekas lombong emas yang mampu dibangunkan untuk sektor pelancongan.
"Setakat ini, hanya Stong Geopark sahaja yang ada di Kelantan dan ia diiktiraf sebagai geopark ke-8 di Malaysia pada November 2022.
"Kita dapati banyak lagi kawasan di negeri ini ada potensi untuk dijadikan geopark, contohnya Gua Musang yang mempunyai keunikan geologi iaitu batu kapur dan (tapak) lombong emas yang wujud pada zaman penjajah dulu," katanya.
Konvoi membabitkan 100 motosikal akan menempuh perjalanan sejauh 150 kilometer sehingga ke Kompleks Gua Ikan, Dabong.
Zaidi berkata, pihaknya kini giat mempromosikan produk pelancongan yang terdapat di Stong Geopark merangkumi 25 tapak geo termasuk warisan geologi dan warisan budaya.
Menurutnya, Stong Geopark turut akan cuba untuk disenaraikan dalam Global Park yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
"Setakat ini, hanya Geopark Negara Kinabalu dan Langkawi sahaja yang diiktiraf Unesco sebagai Global Park dan kita akan berusaha untuk meletakkan Stong Geopark dalam senarai itu.
"Di Stong Geopark, ada banyak tarikan contohnya Gua Ikan, air terjun Jelawang, antara tertinggi di Asia Tenggara serta kewujudan 'magnetic stone'," katanya.