LUBANG benam adalah isu geologi yang serius yang boleh memberi kesan besar kepada infrastruktur bandar dan nilai hartanah.
Ia sering disebabkan oleh aktiviti manusia, seperti pengambilan air bawah tanah yang berlebihan, pengurusan perparitan yang lemah dan perancangan bandar yang tidak mencukupi.
Pendekatan proaktif yang melibatkan penilaian risiko yang menyeluruh, pemantauan berterusan dan pendidikan awam adalah penting dalam mengurus dan mengurangkan risiko ini.
Sehubungan itu, Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Prof. AR Adrianta Aziz berkata, pembukaan lokasi baharu harus melibatkan tinjauan geoteknikal yang terperinci untuk menilai kestabilan tanah dan potensi risiko.
“Kerajaan atau pihak berkaitan perlu mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu untuk pembangunan hartanah harus merangkumi penilaian risiko lubang benam secara mandatori, pemantauan berkala terhadap paras air bawah tanah, dan pelan tindak balas yang kukuh sekiranya berlaku kejadian di masa hadapan.
“SOP ini perlu dikuatkuasakan ke atas semua pembangunan baharu dan sedia ada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas beliau, kerajaan dan pemaju harus menjalankan penilaian geologi yang segera dan menyeluruh di kawasan yang terdedah kepada kejadian lubang benam.
“Mereka juga perlu melabur dalam penambahbaikan dan penyelenggaraan infrastruktur untuk menangani punca-punca asas, seperti sistem perparitan yang lemah atau kebocoran air.
“Kempen kesedaran awam dan kemas kini berkala mengenai langkah keselamatan boleh membantu meyakinkan pemilik hartanah dan pembeli. Selain itu, pemaju perlu mengguna pakai dan menguatkuasakan kod bangunan yang lebih ketat yang mengambil kira risiko geologi,” katanya
Sementara itu, Perunding hartanah dan Naib Presiden IQI Realty Sdn. Bhd., Muhazrol Muhamad berkata, pembeli boleh mengurangkan risiko dengan membeli hartanah di lokasi yang dipercayai, daripada pemaju yang mempunyai reputasi baik atau bangunan yang sudah ada rekod prestasi yang kukuh.
“Kami juga menggalakkan pembeli untuk menjalankan pemeriksaan kualiti binaan sebelum membeli hartanah bagi memastikan ia bebas daripada kecacatan besar.
“Pembeli juga boleh mempertimbangkan untuk menggunakan khidmat penyelia bangunan, walaupun ia bukanlah satu servis yang popular di Malaysia dan tiada undang-undang yang mewajibkannya.
“Ini adalah langkah proaktif yang boleh memberikan jaminan tambahan terhadap kualiti dan keselamatan hartanah yang dibeli,” katanya. – UTUSAN