Kerajaan perlu tubuh pasukan khas kaji isu mendapan KL

screencapture bharian my berita nasional 2024 09 1292848 kerajaan perlu tubuh pasukan khas kaji isu mendapan kl 2024 09 03 09 16 55

MINDA PENGARANG

KAKI terdorong badan merasa, lidah terdorong emas padahnya. Begitu orang dahulu menyimpulkan kepentingan menepati janji dan apabila berbuat sesuatu, perlu berani menanggung akibatnya. Namun bagaimana pula memenuhi janji atau jaminan sekiranya membabitkan sesuatu sangat besar dan kompleks berkaitan alam sekitar seperti diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Kuala Lumpur adalah bandar raya selamat dikunjungi susulan kejadian tanah jerlus di Masjid India, minggu lalu?

Ia bukan sahaja besar dan kompleks, bahkan lama dibangkitkan sekurang-kurangnya 10 tahun lalu termasuk akhbar ini mendedahkan situasi Lembah Klang berada di atas struktur batu kapur berisiko mengalami mendapan tanah dan pasir jerlus susulan dua mendapan sedalam enam meter seluas 20 meter persegi di projek pembinaan terowong empat lorong di persimpangan Jalan Pudu-Jalan Hang Tuah-Jalan Imbi. Dalam laporan berjudul 'KL 'rapuh' terletak atas batu kapur' itu, kira-kira 40 peratus dasar pusat bandar raya ini didedahkan adalah batu kapur tahap Karst Melampau ditutupi aluvium terkacau (pasir) mempunyai risiko mendapan tanpa mengira kedalaman dan keluasan sejak 1960-an.

Bagaimanapun, kata kunci penyelesaian isu ini dan juga bagaimana jaminan Perdana Menteri dapat dipenuhi adalah mendapan itu bukan berkaitan dengan geologikal semulajadi atau keadaan persekitaran, sebaliknya akibat kegiatan manusia. Kegiatan manusia itu bukan semata-mata pembinaan bangunan pencakar langit, sebaliknya pakar seperti Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo mengingatkan ia juga pembinaan dan penyelenggaraan prasarana bawah tanah seperti paip air dan saluran kumbahan, kerja mengorek tanah untuk laluan pengangkutan serta pengambilan air bawah tanah.

Diakui kerajaan sebelum ini sudah mencuba pelbagai usaha dalam mengurangkan penumpuan kepesatan pembangunan luar biasa di Kuala Lumpur seperti mengalihkan pusat pentadbiran ke Putrajaya yang kemudian nampaknya diikuti Indonesia dengan memindahkan ibu negaranya dari Jakarta ke Nusantara, tetapi kesibukan dan kerancakan ibu kota kita tidak 'surut', sebaliknya pelbagai pembinaan dan penambahbaikan dilakukan. Malangnya, ia nampaknya tidak diikuti dengan formula penting mana-mana falsafah pembangunan, iaitu kepentingan aktiviti penyelenggaraan dan pemantauan termasuk berkaitan bawah tanah yang dianggap 'dasar rapuh' itu.

Justeru dalam memastikan jaminan Perdana Menteri dapat dipenuhi demi keselamatan manusia dan kemajuan negara termasuk kegiatan ekonomi serta pelancongan, kita meminta kerajaan untuk mengambil tindakan proaktif dengan menubuhkan pasukan khas dianggotai pakar tempatan dan luar negara untuk melihat hal ini secara keseluruhan. Tindakan pemantauan dan penelitian bukan sahaja terhadap kawasan di sekitar Masjid India itu, bahkan kawasan berisiko lain tidak boleh diletakkan kepada Kementerian Wilayah dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semata-mata, sebaliknya perlu membabitkan kerjasama merentas agensi dengan bantuan serta nasihat teknikal pasukan khas terbabit.

Ini kerana kita tidak mahu penyelesaian diberikan ala 'gali lubang, tutup lubang' bersifat sementara tetapi berisiko untuk berulang kembali. Apa kita mahu dan pastinya dikehendaki rakyat dan boleh dipercayai semua adalah penyelesaian menyeluruh berdasarkan fakta, data serta kajian saintifik yang dapat 'mengukuhkan' jaminan terhadap keselamatan Kuala Lumpur.

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input