Projek pasir, Kuari didakwa jejaskan ekosistem alam sekitar
LUMUT: Tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengulangi gesaan supaya Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di mukim Segari dalam daerah Manjung, dekat sini dilindungi dan dipulihara daripada sebarang kegiatan yang boleh mengancam ekosistem semula jadi serta kesejahteraan alam sekitar.
Gesaan itu dibuat berikutan kebimbangan terhadap beberapa kegiatan dan projek yang sedang dan akan dilakukan di situ tidak selari dengan dasar dan ketetapan termasuk rancangan pemajuan sama di peringkat negeri serta Persekutuan.
Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang mewakili tujuh NGO itu, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri harus mengambil berat perkara berkenaan sebelum kemusnahan berlaku di KSAS khususnya enam aktiviti atau projek yang sedang dan akan dilaksanakan di situ.
Katanya, kerosakan terhadap KSAS di Segari sekali gus mengancam kawasan pendaratan penyu, kawasan habitat hidupan laut yang menjadi sumber penangkapan nelayan dan mengganggu kawasan rayau hidupan liar.
“Ancaman terhadap ekosistem semula jadi dan kesejahteraan alam sekitar juga memberi impak semasa dan tempoh jangka panjang terhadap sosio ekonomi masyarakat setempat terutama golongan nelayan dan sektor pelancongan di Pantai Teluk Senangin,” katanya semalam.
Menurut Meor Razak, antara aktiviti dan projek yang sedang dilakukan dan akan dilakukan adalah pengambilan pasir di Pantai Pasir Panjang, pembalakan secara tebang habis untuk tujuan projek kuari seluas kira-kira 122 hektar di sebahagian Kompartmen 19, 20 dan 21, Hutan Simpan Segari Melintang (HS Segari Melintang);
Projek akuakultur di sebahagian Kompartmen 34, HS Segari Melintang, cadangan kilang besi dan keluli di Pantai Pasir Panjang, cadangan loji pemprosesan minyak dan petrokimia di Tanjung Hantu serta cadangan kompleks cerapan Baitul Hilal bersebelahan Baitul Hilal di Pantai Pasir Panjang.
“Semua projek dan aktiviti yang sedang dan akan dilakukan itu bakal mengancam kawasan pesisiran pantai dan kawasan penangkapan nelayan serta memusnahkan hutan semula jadi hutan bukit pantai,” katanya.
“Ia juga menyebabkan pencemaran air Sungai Gelam, mengancam kawasan pendaratan penyu dan sektor pelancongan serta memusnahkan hutan semula jadi bukit pantai,” katanya di semalam.
Menurutnya, berdasarkan dokumen Rancangan Fizikal Negara (RFN), semua kawasan pendaratan penyu di Semenanjung Malaysia dikategori sebagai KSAS Tahap 1 dan 2 yang tidak boleh dibangunkan dengan sebarang kegiatan dan penukaran guna tanah seperti perindustrian, perlombongan dan pengkuarian kecuali kegiatan ekopelancongan yang berimpak rendah, pendidikan dan penyelidikan sahaja.
Beliau berkata bahawa kawasan pantai dari Hutan Lipur Pasir Panjang hingga ke Pantai Pasir Pandak, Tanjung Hantu, adalah kawasan yang kerap direkodkan pendaratan penyu berdasarkan kepada penemuan sarang dan kutipan telur oleh pengutip telur penyu yang dilantik oleh Jabatan Perikanan.
“Malah dimaklumkan, kawasan pantai dan beting pasir di muara sungai merupakan kawasan sarang penyu paling banyak ditemui,” katanya. – UTUSAN