Perak Sokong Komersial Produk Inovasi Tempatan

IMG 4218

IPOH: Kerajaan Perak memberi sokongan terhadap produk inovasi yang dihasilkan di negeri ini sehingga ke peringkat pengkomersialan memasuki pasaran.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, usaha itu akan dibuat termasuk dengan melibatkan bantuan daripada syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC).

Katanya, langkah itu akan melibatkan penambahbaikan produk, paten dan pengkomersialan.

“Pertama kena dipatenkan dahulu. Sebelum paten kena buat penambahbaikan, kemudian baru kita boleh komersialkan. Kita akan cari satu GLC untuk pendaftaran dan diniagakan,” katanya kepada pemberita semasa sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2023 di sini hari ini.

Dalam program dihadirinya itu, sebanyak sembilan anugerah dipertandingkan dengan hadiah utama ialah Anugerah Inovasi Menteri Besar yang dimenangi oleh Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.

Pemenang itu mengetengahkan inovasi kitar semula sisa kapur karbida bagi penghasilan kalsium karbonat termendak sebagai bahan pengisi dalam pembuatan cat komersial.

Menurut keterangan yang diberikan, inovasi itu adalah teknik menukarkan sisa industri gas asitilena iaitu kapur karbida menjadi batu kapur sintetik bergred tinggi. Bahan tersebut boleh digunakan dalam pelbagai industri lain seperti cat, kertas, plastik serta bahan salutan.

Antara anugerah lain yang turut dipertandingan ialah Anugerah Inovasi (AI) Terbuka, AI Lestari Bumi Hijau, AI Pejabat Daerah dan Tanah, AI Pihak Berkuasa Tempatan, AI Institut Pengajian Tinggi, AI Akar Umbi, AI Sekolah Menengah dan AI Sekolah Rendah.

Semua pemenang kategori tersebut membawa pulang hadiah tunai RM10,000 bersama piala iringan, manakala naib johan serta tempat ketiga masing-masing menerima RM8,000 dan RM5,000 bersama piala iringan.

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia yang memenangi Anugerah Inovasi Menteri Besar menerima RM50,000 dan piala iringan. 

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input