Laporan Lawatan Tapak ke Lokasi Fenomena Letusan Volkano Lumpur Tabin, Lahad Datu, Sabah

Satu kejadian letusan volkano lumpur atau juga dikenali sebagai “mud volcano” di Tabin, Lahad Datu telah berlaku pada 18 September 2022 (Foto 1). Laporan mengenai letusan ini telah tersebar di media-media sosial dan telah menimbulkan keresahan awam dan beberapa spekulasi. Kakitangan dari JMG Sabah telah menjalankan siasatan di tapak lokasi volkano lumpur tersebut pada 20 September 2022 untuk menyiasat fenomena proses geologi ini.

C9B1715D 8D79 468A 806C E2C78978954D

Foto 1:  Letusan Volkano Lumpur Tabin, Lahad Datu pada 18 September 2022.

Lokasi

Fenomena ini terjadi di kawasan Tabin, Lahad Datu yang terletak di bahagian timur Sabah.  Kawasan volkano lumpur Tabin ini dilintasi oleh Sesar Tabin yang bertren ENE-WSW. Sesar Tabin merupakan sesar yang telah dikenalpasti aktif berdasarkan kepada kejadian gempa bumi sederhana hingga kuat di sekitar Sesar Tabin.  

 Latarbelakang Sesar Aktif Tabin

Zon Sesar Tabin mempunyai 5 segmen utama iaitu Segmen Sesar Tabin 1, Segmen Sesar Tabin 2, Segmen Sesar Tabin 3, Segmen Sesar Tabin 4 dan Segmen Sesar Tabin 5 (Peta 1). Volkano Lumpur Tabin adalah terletak dalam Zon Segmen Sesar Tabin 3. 

E787DC04 BC3A 46A9 ACEA DFDBBC715592

Peta 1:  Peta menunjukkan Segmen Sesar Tabin yang dibahagikan kepada 5 segmen utama.

Kejadian letusan Volkano Lumpur Tabin adalah merupakan siri kesinambungan yang pernah berlaku sebelum ini. Kejadian letusan ini akan berlaku apabila perlepasan tekanan terkumpul akibat daripada pergerakan Sesar Tabin yang merupakan sesar aktif. 

Pemetaan sesar aktif di kawasan sekitar menunjukkan terdapat kesan-kesan pergerakan sesar pada batuan dasar berhampiran Volkano Lumpur Tabin (Foto 2 dan Foto 3).

5BA26C94 999A 4D0B BD8A 22261DD6BE05

Foto 2:  Kesan pergerakan sesar pada batuan dasar berhampiran dengan Volkano Lumpur Tabin.

8411C24F 2C14 458C B8DE 253824FA7DA1

Foto 3:  Kesan pergerakan sesar pada batuan dasar berhampiran dengan Volkano Lumpur Tabin.

Laporan Tinjauan 

Siasatan awal kumpulan kerja Jabatan Mineral dan Geosains Sabah pada 20 September 2022 ke tapak letusan volkano lumpur mendapati letusan tersebut telah pun berhenti mengeluarkan lumpur. 

Tapak letusan volkano lumpur Tabin ini mempunyai geometri 140m x 95m dengan anggaran isipadu letusan 16,500m3. Keluasan kawasan rebakan adalah sekitar 5,500-meter padu dengan ketebalan bahan letusan sekitar 1.2 – 3.5 m (purata 3m). Bahan letusan umumnya merupakan lumpur berwarna kelabu gelap bersama dengan sedikit serpihan batuan dan agak likat.  

Menurut pengurus Tabin Wildlife Reserve, fenomena letusan volkano lumpur Tabin pada 18 September 2022 berlaku lebih kurang jam 10:05 pagi, di mana berlaku letusan secara besar-besaran selama lebih kurang 2 minit dan kemudiannya disusuli dengan letusan kecil selama lebih kurang 10 minit. Terdapat pengeluaran gas semasa letusan berlaku

Semasa tinjauan JMG di lokasi, letusan volkano lumpur telah berhenti dan tidak kelihatan pengeluaran gas di permukaan kawasan letusan tersebut. Gambar-gambar di lapangan adalah seperti ditunjukkan dalam Foto 4 - 6.

64C322E1 DE63 4480 A255 425315AED9E6

Foto 4:   Endapan lumpur berwarna kelabu gelap letusan volkano lumpur Tabin.

C8A1561E 52AA 4AB3 BE31 680C086C87E8

Foto 5:   Bahan-bahan endapan letusan volkano lumpur Tabin yang terdiri daripada lumpur dan beberapa serpihan kecil batuan.

82B000A4 7026 4C8D B289 C108BF8B8ADA

Foto 6:   Tinjauan di lapangan pada 20 September 2022 oleh JMG Sabah bersama pasukan Bomba dan pihak Jabatan Hidupan Liar Tabin.

Berdasarkan kepada temubual JMG dengan Renjer Hidupan Liar Tabin, kejadian letusan volkano lumpur di Tabin ini direkodkan berlaku pada tahun 2014, 2019 dan 2022. 

Kesimpulan

  1. Kawasan Volkano Lumpur Tabin adalah terletak dalam Zon Sesar Tabin yang telah dikenalpasti sebagai sesar aktif. Kesan himpitan tektonik rantau yang bertren NW-SE menyebabkan tekanan di bawah bumi di sepanjang Zon Sesar Tabin.
  2. Berdasarkan kepada kejadian letusan volkano lumpur yang pernah direkodkan oleh pihak Jabatan Hidupan Liar di Tabin Lahad Datu pada tahun 2014, 2019 dan 2022 menunjukkan bahawa tempoh perulangan kejadian ini adalah kurang daripada 5 tahun. 
  3. Tiada dikesan pengeluaran gas ketika tinjauan dijalankan pada 20 September 2022 memberi indikasi bahawa letusan ini adalah disebabkan oleh tekanan mampatan Sesar Tabin. 
  4. Kejadian letusan volkano lumpur di Tabin Lahad Datu adalah bukan disebabkan oleh aktiviti magma tapi fenomena ini adalah disebabkan oleh proses geologi yang berlaku disebabkan oleh pergerakan sesar aktif. 
  5. Rebakan letusan volkano lumpur ini adalah terhad, tertumpu secara tempatan di sekitar radius beberapa ratus meter di sepanjang radius rebakan letusan volkano lumpur terdahulu. Letusan volkano lumpur ini hanya terhad risiko bahayanya di kawasan kawah utama.