12 Mac 2026 | Khamis - Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Pahang telah memberikan khidmat kepakaran bagi mengenalpasti penamaan sampel batuan dan mineral yang merupakan sampel-sampel dalam koleksi Muzium Sungai Lembing.
Sesi khidmat kepakaran ini melibatkan penelitian dan perbincangan teknikal bagi membantu pihak muzium dalam mengenalpasti serta mengesahkan penamaan sampel batuan dan mineral yang terdapat dalam koleksi mereka.
Timbalan Pengarah Sumber Mineral yang menanggung tugas Pengarah JMG Pahang, Tn. Hj. Shari bin Ismail serta beberapa orang pegawai kanan jabatan yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang geosains telah hadir dan membantu mengenalpasti sampel-sampel tersebut.
Delegasi dari pihak muzium pula telah diketuai oleh En. Peterson Augustine anak Augustine Jadan serta beberapa orang pegawai kanan muzium. Turut membantu dalam pengenalpastian sampel tersebut ialah empat orang pelajar latihan industri di JMG Pahang, bertujuan bagi memberi peluang kepada pelajar menimba pengalaman serta pendedahan secara langsung dalam kerja-kerja pengenalpastian sampel geologi.
Program ini mencerminkan komitmen JMG Pahang dalam menyumbang kepakaran teknikal kepada agensi dan institusi berkaitan bagi memperkasa penyampaian perkhidmatan agensi kerajaan di samping ke arah pemeliharaan sumber warisan geologi negara. Sesi diakhiri dengan penyampaian cenderamata daripada pihak Muzium Sungai Lembing kepada JMG Pahang sebagai tanda penghargaan atas kerjasama dan kepakaran yang telah diberikan.
Maklumat lanjut dan liputan bergambar boleh dirujuk melalui laman Facebook rasmi JMG.