Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) merupakan bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia. PPM menjalankan projek-projek R&D berkaitan dengan teknologi berasaskan lempung, silika, batuan dan bahan termaju. Bagi menggalak pengusahahasilan sumber mineral secara mampan, R&D berkaitan teknologi pemprosesan mineral, perlombongan, pengkuarian dan pemulihan lombong dan kuari juga dijalankan. Fokus utama penyelidikan dan pembangunan (R&D) di PPM adalah untuk menambah nilai komoditi produk berasaskan sumber mineral tempatan.
Aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) mineral berupaya mempertingkatkan penggunaan sumber mineral tempatan, tambah nilai dan penghasilan kepelbagaian produk. Hasil ini dapat mengurangkan kebergantungan ke atas mineral yang diimport. Hasil R&D juga mampu untuk memacu Malaysia sebagai pengeluar dan pembekal tersohor bagi produk yang berasaskan mineral. JMG memperkasakan usaha untuk menjadikan Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) sebagai pusat kecemerlangan R&D&C mineral negara.
Sejajar dengan evolusi pembangunan negara pada hari ini untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan tempatan bagi menjana pendapatan negara, PPM bukan sahaja berperanan menjalankan R&D malah telah mengorak langkah ke tahap inovasi dan pengkomersialan. Beberapa projek penyelidikan PPM telah didaftarkan sebagai harta intelek di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Disamping itu PPM juga menyertai pelbagai pertandingan inovasi seperti MTE/ InSIDE/ VIC/ AIINEX dan lain-lain bertujuan untuk mempromosi hasilan inovasi serta menilai impak keberkesanan penyelidikan yang telah dijalankan. PPM juga menyediakan perkhidmatan MS ISO 9001:2015 yang merangkumi dua skop iaitu Ujian Batu Dimensi dan Ujian Pemprosesan Mineral (Bijih Timah/ Bijih Besi/ Bijih Emas/ Pasir Silika). Disamping itu, PPM juga menjalankan kerjasama teknikal serta perkongsian pintar dalam bidang penyelidikan mineral dengan industri/ agensi/ IPT.