Perutusan Ketua Pengarah
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) memainkan peranan penting dalam mendukung pembangunan negara melalui bidang mineral, pembangunan fizikal serta perkhidmatan geosains yang berimpak tinggi. Peranan ini menjadi semakin signifikan seiring dengan perkembangan pesat teknologi dan keperluan sumber semula jadi di peringkat nasional dan global.
Sebagai agensi tunggal Kerajaan yang menerajui bidang mineral dan geosains negara, JMG beriltizam untuk merealisasikan visinya sebagai “Peneraju Pembangunan Mineral dan Geosains Negara.” Selaras dengan visi tersebut, JMG komited menyediakan perkhidmatan berasaskan kepakaran tinggi kepada semua pihak berkepentingan (stakeholders) dan pelanggan dalam bidang mineral serta geosains secara profesional, berintegriti dan berinovatif.
Bagi merealisasikan visi ini, JMG melaksanakan misinya iaitu “Menyumbang kepada peningkatan daya saing ekonomi negara dan kualiti hidup melalui penggunaan maklumat, perkhidmatan berkepakaran tinggi serta penyelidikan berkaitan mineral dan geosains yang efektif.”
JMG terus memperkukuh peranannya dalam mempertingkatkan sumbangan sektor mineral dan geosains terhadap pembangunan sosioekonomi serta kesejahteraan rakyat melalui pendekatan mampan dalam pembangunan sumber mineral, penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C), serta penyebaran maklumat geosains yang berimpak tinggi.
Segala inisiatif ini dilaksanakan melalui proses perolehan, tafsiran, pengurusan dan penyebaran data serta maklumat geosains secara sistematik dan berintegrasi.
Pengetahuan dan data geosains yang dikumpulkan bukan sahaja menyumbang kepada penyelesaian pelbagai isu berkaitan sumber bumi dan risiko geologi, malah membantu meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, memperkukuh ketahanan ekonomi negara serta menyokong pemeliharaan alam sekitar ke arah pembangunan yang lestari.
Visi
Misi
Menyumbang Kepada Peningkatan Daya Saing Ekonomi Negara dan Kualiti Hidup Melalui Penggunaan Maklumat, Perkhidmatan Berkepakaran Tinggi Serta Penyelidikan Berkaitan Mineral dan Geosains yang Efektif
Objektif
- Menyediakan maklumat komoditi mineral bagi meningkatkan pertumbuhan industri berasaskan mineral.
- Menggalakkan penggunaan optimum maklumat dan perkhidmatan geosains bagi pembangunan negara yang mampan.
- Memastikan perusahaan sumber mineral berkembang secara teratur, selamat, cekap dan mesra alam serta mendatangkan pulangan yang maksimum kepada negara.
- Menggalak dan mempelbagai penggunaan sumber mineral tempatan bagi menyumbang kepada pembangunan sektor perindustrian negara melalui aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
- Menyediakan perkhidmatan kepakaran dalam bidang mineral, geosains dan perlombongan di peringkat nasional dan antarabangsa bagi menggalakkan pelaburan dalam sektor mineral dan perancangan pembangunan negara.
Fungsi dan Peranan
Bagi mencapai Visi, Misi dan Objektif yang ditetapkan, JMG dipertanggungjawabkan dengan peranan utama seperti berikut:
- Mengendali eksplorasi mineral secara sistematik
- Mengendali penyiasatan pelbagai bidang geosains seperti pemetaan geologi, sumber air bawah tanah, geologi kejuruteraan, bencana geologi, geologi alam sekitar, geologi marin, geofizik, dan bidang-bidang geosains lain secara sistematik
- Menyedia perkhidmatan analisis geokimia dan ujian fizikal bahan batuan dan mineral
- Bertindak sebagai bank data nasional bagi semua maklumat berkaitan dengan geosains dan sumber mineral negara
- Mengumpul, menganalisis dan menyebarkan data dan maklumat berkaitan eksplorasi mineral, perlombongan dan aktiviti yang berkaitan
- Menyedia perkhidmatan nasihat teknikal dan kepakaran dalam bidang mineral, geosains, perlombongan dan pengkuarian
- Membantu dan bekerjasama dengan pihak swasta dan industri dalam usaha pembangunan sektor mineral
- Menentukan supaya aktiviti perlombongan mineral serta aktiviti lain yang berkaitan dengannya dijalankan dengan cara yang selamat, cekap dan sistematik
- Melaksana dasar dan arahan Kerajaan berhubung dengan industri mineral dan geosains, disamping mentadbir dan menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan
- Menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemindahan teknologi, pembangunan sumber mineral serta mempromosi hasil penyelidikan supaya digunapakai oleh pihak industri




