Sambutan Hari Ahli Geologi Peringkat Kebangsaan 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Hotel Zenith, Putrajaya, menghimpunkan penggiat industri, ahli akademik serta pengamal geosains dalam satu platform strategik bagi memperkukuh peranan bidang geologi sebagai tunjang pembangunan negara yang mampan.
Bertemakan “Geologi Memacu Ekonomi, Melindungi Komuniti, Asas Pembangunan Lestari”, sambutan ini membawa mesej jelas bahawa bidang geologi bukan sahaja menyokong pembangunan ekonomi berasaskan sumber, malah memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan rakyat serta kelestarian alam sekitar.
Majlis berprestij ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), dengan kehadiran YB Timbalan Menteri NRES, Ketua Setiausaha NRES, serta Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian dan agensi.
Dalam ucapan perasmian, YB Menteri menegaskan bahawa profesion ahli geologi merupakan antara nadi utama pembangunan negara, merangkumi penerokaan sumber tenaga dan mineral, pembangunan infrastruktur serta pengurusan risiko bencana seperti tanah runtuh dan banjir demi keselamatan rakyat.
Antara penekanan penting dalam ucapan YB Menteri ialah usaha kerajaan memperkukuh kerangka perundangan dan dasar geosains negara melalui cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Survei Geologi dan Geosains yang akan memperkemas tadbir urus serta kawal selia bidang geosains di Malaysia. Usaha ini akan disusuli dengan penghasilan Dasar Geosains Negara menjelang tahun 2027, bagi memastikan hala tuju pembangunan geosains negara lebih tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi.
YB Menteri turut menekankan komitmen kerajaan dalam memperkukuh aspek keselamatan rakyat melalui penubuhan Pusat Bencana Geologi Negara, yang akan menjadi pusat rujukan utama dalam pemantauan risiko geobencana serta penyelarasan tindakan awal bagi melindungi nyawa dan harta benda rakyat.
Selaras dengan cabaran semasa, komuniti geosains turut digesa untuk memanfaatkan teknologi moden seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan robotik dalam meningkatkan ketepatan analisis serta kecekapan pengurusan bencana. Kerajaan melalui NRES terus komited memperkukuh sektor ini melalui pelaksanaan inisiatif strategik termasuk pemasangan 34 sistem amaran awal tanah runtuh, pembangunan Geopark bertaraf antarabangsa serta pengukuhan agenda kelestarian negara.
Sambutan ini turut diperkaya dengan sesi perkongsian ilmu yang menampilkan 2 kertas ucaptama, 4 kertas teknikal, serta 10 pembentangan industri yang memperkenalkan keupayaan, teknologi dan kepakaran setiap syarikat dalam memperkukuh ekosistem geosains negara.
Antara pengisian utama majlis termasuk penyerahan Kad Kuasa kepada tujuh (7) Inspektor Lembaga Ahli Geologi Malaysia sebagai simbol pemerkasaan peranan penguatkuasaan dalam bidang geologi, yang melibatkan pegawai Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG). Majlis turut menyaksikan peluncuran Garis Panduan Penyiasatan dan Penguatkuasaan Inspektor sebagai rujukan penting dalam memastikan pematuhan piawaian profesional dan integriti.
Kemuncak majlis ialah Penyampaian Anugerah Tokoh Geologi 2026 yang mengiktiraf sumbangan cemerlang dalam empat (4) kategori, iaitu:
JMG turut membuka reruai pameran yang menampilkan pelbagai inisiatif, kepakaran serta teknologi geosains terkini. Reruai ini telah berjaya menarik perhatian YB Menteri, sekali gus menyerlahkan peranan penting JMG dalam menyokong pembangunan negara melalui perkhidmatan geosains yang tepat dan berimpak tinggi.
Sambutan ini adalah hasil kerjasama strategik antara Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Lembaga Ahli Geologi Malaysia (BoG), Persatuan Geologi Malaysia (GSM), Institut Geologi Malaysia (IGM) serta MyGEO, yang bersama-sama memperkukuh penganjuran program berprestij ini.
Maklumat lanjut dan liputan bergambar boleh dirujuk melalui laman Facebook rasmi JMG.