KUALA LUMPUR: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) hari ini menggunakan dron untuk melakukan pemeriksaan bagi mengenal pasti keadaan tanah di bahagian atas cerun yang dikhuatiri masih tidak stabil susulan runtuhan yang berlaku berhampiran bangunan pangsapuri Blok C di Taman United, dekat Seputeh di sini.
Pemeriksaan dari udara penting untuk mengenal pasti rekahan baharu atau pergerakan tanah yang tidak dapat dilihat dari bawah, sekali gus membantu menentukan tahap risiko dan keperluan kerja mitigasi.
Kawasan itu ditutup sementara selepas berlakunya runtuhan tanah pada Isnin lalu, dengan dua bangunan pangsapuri di Blok C membabitkan 104 unit rumah diarahkan dikosongkan.
Berdasarkan tinjauan di lokasi, keadaan persekitaran dilihat masih dipasang pita keselamatan bagi menghalang orang awam memasuki laluan terjejas.
Beberapa anggota teknikal turut dilihat menjalankan penilaian struktur di kawasan laluan runtuhan bagi memastikan punca, dengan tindakan susulan bagi keselamatan penduduk yang menetap di kawasan itu
Difahamkan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan mesyuarat penyelarasan berkaitan tanah runtuh dan akan memaklumkan semula mengenai tempoh pembersihan dan pemasangan benteng sementara.
Pemasangan benteng atau tebing sementara dijangka dilakukan bila-bila masa selepas mesyuarat berkenaan, namun tarikh tepat belum ditentukan.