Perluas sistem amaran bencana geologi ke kawasan berisiko tinggi

sistem ews

YAN – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan memperluaskan Sistem Amaran Awal Bencana Geologi Aliran (EWS) yang sudah beroperasi di kaki Gunung Jerai di sini sejak Februari lalu ke kawasan lain yang berisiko tinggi berlaku bencana alam seperti di Lembah Klang dan Sabah.

Pemasangan EWS bertujuan memberi amaran awal kepada penduduk menerusi bunyi siren bagi mengelak risiko kehilangan nyawa dan harta benda.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kajian oleh pakar daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan dilakukan bagi mengenal pasti kawasan berisiko lain yang perlu diberi keutamaan.

“Pemasangan EWS ini adalah berdasarkan kajian dan perancangan JMG yang mana kita akan mengutamakan lokasi yang mempunyai risiko lebih tinggi berlaku bencana.

“Di Sabah dan Lembah Klang juga sering berlaku bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh. Sabah contohnya pada 1996 pernah berlaku bencana alam sehingga meragut ratusan nyawa, jadi di sini kepentingan kita memasang EWS agar penduduk dapat berwaspada selepas mendapat amaran awal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kesedaran Sistem Amaran Awal Aliran Puing Bersama Komuniti Jerai Geopark di Titi Hayun di sini hari ini.

Menurutnya, JMG mempunyai senarai kawasan berisiko tinggi berlaku bencana alam di seluruh negara untuk kajian seterusnya termasuk dalam mengenal pasti keperluan pemasangan EWS.

Kata Takiyuddin, EWS dipasang di kaki Gunung Jerai susulan kejadian aliran puing sehingga mengorbankan enam nyawa serta merosakkan harta benda penduduk dalam kejadian pada 18 Ogos tahun lalu.

Sumber: KOSMO! ONLINE

Did this page help you?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input