KOTA BHARU: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan menggunakan tiga unit dron bagi memantau lokasi yang dikenal pasti terdapat bahan mineral unsur nadir bumi (REE), bagi mengelak sebarang perlombongan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pengarahnya, Datuk Rosnazli Amin, berkata penggunaan dron juga dilakukan berikutan banyak kawasan REE sukar diakses susulan lokasi berbukit dan terdapat juga lokasi perlu melalui sungai yang menyebabkan mereka menggunakan teknologi berkenaan.
"Bahan mineral REE ini dikesan banyak terdapat di Jeli dan Gua Musang. Selain pemantauan di lokasi, kita juga terpaksa menggunakan dron untuk memantau sama ada berlaku perlombongan yang mencurigakan.
"Bukan sahaja pantau REE sebaliknya semua jenis perlombongan termasuk emas dan kuari. Pada masa sama kita juga memerlukan maklumat orang ramai kerana lokasi berkenaan bukan mudah untuk diakses, bukannya berada di tepi jalan utama.
"Ada lokasi kita perlu menggunakan pacuan empat roda membabitkan beberapa jam perjalanan, ada juga kawasan berbukit dan ada lokasi perlu redah sungai dan situasi itu menyukarkan kita untuk akses.
"Namun itu bukan bermakna kita tidak memantau sebaliknya kita menggunakan dron bagi melihat lokasi berkenaan sama ada wujud perlombongan haram atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi, semalam.
Rosnazli berkata, PTG sentiasa meningkatkan kawalan dan pemantauan biarpun berdepan kekangan pasukan bagi mengelak berlaku sebarang perlombongan terutama di Hulu Kelantan.
"Sebab itu kita mengalu-alukan orang ramai tampil memberi maklumat supaya memudahkan kita memantau lokasi berkenaan.
"Mereka (perlombongan haram) ini juga sedar kawasan berkenaan berada jauh di dalam hutan menyebabkan mereka berani melakukan kegiatan haram itu.
"Sebagai contoh serbuan yang kita pergi di Gua Musang baru-baru ini, mereka siap mendirikan rumah kongsi untuk pekerja di lokasi berkenaan.
"Jadi, maklumat orang ramai akan memudahkan kita untuk pergi terus kepada lokasi sasaran," katanya.
BH sebelum ini melaporkan, polis menahan 55 individu ketika membongkar kegiatan perlombongan REE disyaki secara haram di Gua Musang sebelum bahan itu dikumpul serta diproses di Banting, Selangor untuk dieksport ke luar negara.
Semua mereka ditahan menerusi Operasi Khazanah Khas 1/24 dalam tiga serbuan berasingan dengan dua serbuan di Gua Musang dan satu serbuan di Banting bermula jam 5.40 pagi.
Susulan serbuan berkenaan, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan, berkata Kelantan akan meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan di lokasi yang dikenal pasti terdapat REE.
Katanya, pendekatan itu bagi mengelak berlaku perlombongan haram berikutan Kelantan adalah negeri kedua yang mempunyai REE paling banyak selepas Terengganu.