Perak peneraju industri mineral negara

sinarharian myarticle693910beritanasionalperak peneraju industri mineral negara

IPOH - Kepekaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terhadap sumber mineral yang ada di negeri ini memberikan inspirasi buat kerajaan negeri untuk meneroka potensi unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

Malah dalam buku yang ditulis baginda, Globalization: Perak's Rise, Relative Decline, and Regeneration, Sultan Nazrin menekankan pentingnya peranan GLC dalam membantu Perak memanfaatkan potensi sumber mineral tersebut yang dilihat sebagai langkah strategik untuk menjana pertumbuhan ekonomi, memperkukuh kedudukan negeri, dan menghadapi cabaran globalisasi, sekaligus memulihkan dan mengukuhkan ekonomi Perak dalam era pasca-globalisasi.

Menindaklanjuti titah baginda, Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) yang diberikan tanggungjawab memajukan sektor mineral negeri mengorak langkah meneroka ruang dan menjalinkan kerjasama dengan saintis dan pakar untuk menjalankan penyelidikan ke atas mineral yang baru ditemui di Mukim Kenering, Hulu Perak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anuar Zainal Abidin berkata, bagi memastikan kelestarian projek perintis itu, MB Inc melantik Institut Darul Ridzuan (IDR) sebagai koordinator penyelidikan yang kemudiannya menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menjalankan kajian komprehensif meliputi pemantauan keradioaktifan, penilaian sumber air bawah tanah serta analisis kestabilan tanah.

Jelasnya, Perak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang memperolehi kesemua kelulusan untuk aktiviti perlombongan tersebut, termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA), Kebenaran Merancang (KM), Skim Pengendalian Melombong (OMS), Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Kawalan Hakisan dan Sedimen (ESCP).

Sementara itu, dalam usaha merealisasikan hasrat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk menjadikan Perak sebagai peneraju industri mineral negara, MB Inc mengambil langkah proaktif menubuhkan Terra Mineral Lab (TML) Sdn Bhd dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral.

Beliau berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama IDR dan universiti-universiti tempatan selain turut memeterai kerjasama awal dengan Universiti Malaya (UM) dalam bidang penyelidikan NR-REE di Perak.

"TML yang disasarkan sebagai Makmal Utama Negara menjelang 2030 bagi Perkhidmatan Analisis Mineral dilengkapi dengan tiga instrumen analisis berteknologi tinggi: Inductively Coupled Plasma Mass Spectrometry (ICP-MS), Wavelength Dispersive X-Ray Flourescence (WDXRF), dan Micro X-Ray Fluorescense (Micro-XRF).

"Fasiliti ini dikendalikan oleh 15 pakar tempatan yang terdiri daripada jurutera kimia, ahli sains nuklear, ahli kimia kanan, ahli kimia, dan penolong ahli kimia yang merupakan graduan terlatih dari universiti tempatan," katanya.

Untuk rekod, Perak berjaya mengeksport 8,157.340 metrik tan nadir bumi karbonat (REC) hasil projek rintis berkenaan ke China melalui 24 kali penghantaran sejak dari Februari 2023 hingga Mei 2024 yang sekali gus menyumbang sebanyak RM30.88 juta royalti kepada kerajaan negeri.

Anuar berkata, selain REE, MB Inc juga komited dalam memacu ekonomi negeri melalui pengurusan pelbagai projek mineral lain termasuk bijih timah, kaolin dan silika.

Dalam pada itu, sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), MB Inc. turut melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang merangkumi aspek sosial, alam sekitar, dan pendidikan melalui pelbagai program seperti Biasiswa Perak Corporate Leadership Apprentice Scheme, Eco-Schools Malaysia dan Tuisyen Cikgu Saarani.

 

Did this page help you?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input