NRREE: Perak mampu imbangi monopoli China - Saarani

astroawani.berita malaysianrree perak mampu imbangi monopoli china saarani 492976

KUALA LUMPUR: Perak dilihat menjadi ‘wakil’ kepada Malaysia untuk menjadi pengimbang agar industri unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) tidak dimonopoli oleh China.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, hasil bumi tidak lagi boleh dijajah seperti sebelum negara mencapai kemerdekaan kerana impak monopoli menyebabkan mereka menindas dengan menentukan harga pasaran yang tidak adil.
“Kita tidak boleh nafikan China adalah pelopor kerana mereka negara besar dan sumber NR-REE ini memang ada di China selepas mereka telah memulakan sejak dulu lagi. Namun kalau kita benarkan satu negara sahaja memonopoli, ini bermakna harga akan ditentukan negara itu.
“Tidak mungkinlah hasil bumi yang ada ini kita mahu ulangi zaman bijih timah dulu. Kalau kita semuanya hantar ke China maka ketentuan harga akan dipelopori mereka, walaupun Perak ini kecil tetapi kepakaran yang kita ada sekurang-kurangnya boleh mengimbangi China, maka tiada negara yang monopoli,” katanya selepas program Agenda AWANI pada Selasa.
 
Menyifatkan projek perintis perlombongan NR-REE di mukim Kenering berjaya melonjakkan Perak dalam peta industri mineral global, beliau berkata penubuhan makmal analisis mineral Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML) kini mengukuhkan kedudukan negeri sebagai pengeluar latanid.
“Kita sendiri berhak buat keputusan berapa harga kita hendak jual sebab produk akhir pun dihasilkan di Perak. Misalnya apabila syarikat Geely datang ke Tanjung Malim, mereka mahu buat bateri kereta elektrik, tidak perlu import kerana kita akan hasilkan di Perak sendiri dan itu akan jadikan harganya lebih murah.
 
“Kita tidak boleh bergantung kepada kemahiran teknologi luar, kelihatan jelas China atau mana-mana negara tidak akan berkongsi (ilmu) itu tetapi kita kena buktikan kepada dunia bahawa kita mampu (ekstrak) hasil itu.
“Maka kita dengan sendiri menjayakan hasil ini, tidak seperti zaman bijih timah di mana zaman itu ia dijual mentah dan pembeli akhirnya main harga jadi kita tidak mahu ulang benda yang sama,” ujarnya.
 
Kerajaan negeri Perak melalui Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak mencipta sejarah dengan penubuhan makmal komersial pertama di Malaysia iaitu TML dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (CoE) bernilai RM12 juta di kawasan Perindustrian Gopeng.
Saarani menyimpulkan kemajuan berkenaan menjadi batu loncatan untuk memastikan pelan Perak Sejahtera 2030 dengan matlamat memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat tercapai.
 

 

Did this page help you?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input